Karnival Kebudayaan perkukuh jenama ATH Group sebagai pakar bina rumah atas tanah sendiri

Israr Khalid
Jun 30, 2024 15:47 MYT
Karnival Kebudayaan ATH Group 2024 dianjurkan untuk mengukuhkan jenamanya sebagai pakar bina rumah di tanah sendiri.
KOTA BHARU: Ada tanah, ATH Group ‘setel'kan pembinaan rumah dari A sampai Z.
ATH Group Holding Sdn. Bhd. sebagai pakar pembinaan rumah di atas tanah sendiri bermatlamat untuk membantu lebih ramai rakyat memiliki kediaman idaman dengan lebih mudah.
Dengan pengalaman selama 25 tahun, syarikat pembinaan berpangkalan di Kota Bharu ini menawarkan pakej-pakej lengkap dan menarik yang boleh dipilih mengikut kemampuan dan kemahuan pelanggan, dan segalanya akan diuruskan mereka.
Kata Presidennya, Mohd Norlisan Ramzai, ATH Group, mereka bermatlamat untuk menjadi sebuah pusat sehenti (one-stop centre), yang mana segala yang diperlukan dalam proses pembinaan dan pemilikan rumah, termasuk menguruskan pelan, kelulusan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT), serta lakaran 3D, menjadi tanggungjawab mereka.
“Jadi pelanggan tak perlu fikir banyak, hanya perlu daftar dengan kami, serah sahaja borang hingga siap rumah, termasuk perolehan Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) dan serah kunci, kami akan uruskan,” jelasnya.
ATH Group, yang turut memiliki pejabat cawangan di Terengganu, Pahang, Perak, Negeri Sembilan dan Selangor, tahun ini menyasarkan pembinaan 270 buah rumah dengan nilai keseluruhan RM60 juta.
Sebagai meraikan perjalanan jayanya dan untuk memperkukuh jenama serta memperkembangluaskan lagi keberadaannya, dianjurkan Karnival Kebudayaan ATH Group #ADOMMENEY bertempat di Padang Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Beris Kubur Besar, Bachok pada 29 Jun 2024.
Acara sepanjang hari itu sarat dengan pelbagai pengisian yang menumpukan kepada penghargaan dan pemerkasaan seni budaya tradisi negeri Kelantan khususnya, di samping aktiviti-aktiviti menarik yang dinikmati seisi keluarga.
Sebelah siangnya diadakan Pertandingan Burung Candik Antarabangsa, yang menerima penyertaan lebih 700 ekor burung dari serata Malaysia juga negara-negara jiran seperti Thailand dan Singapura.
Konsert pada sebelah malamnya mempersembahkan Pertandingan Akhir Nyanyian Lagu-Lagu Daerah Kelantan, diserikan dengan persembahan menampilkan persembahan dikir barat daripada Kumpulan Dikir Sri Dewi, para pendikir tempatan seperti Fadil Turbo, Ezeri Layang Putih, Emie Sukmasari, Jemi Intan Berlian, Ropi Hitam Manis dan ramai lagi, diselangi cabutan bertuah yang menghadiahkan hamper dan perkakas elektrik.
“Matlamatnya selain daripada memperkukuh jenama ATH Group, ia juga sebagai usaha untuk memperkuat warisan tradisi kita supaya terus mekar dan tak dilupakan generasi hari ini,” ujar Norlisan.
Kemuncak acara malam itu yang dihoskan oleh Issey Fazlisham adalah persembahan khas daripada Ameng Spring, dan cabutan bertuah hadiah utama berupa sebuah motosikal dan hadiah bonanza luar biasa iaitu dua ekor kambing dan seekor lembu.
“Acara ini lengkap untuk pengisian masyarakat di sekitar sini dan juga usaha bernas sebuah syarikat tempatan untuk memelihara dan memperkasa budaya tradisi tempatan.
“Juga strategi yang baik untuk ATH Group mengumpulkan khalayak dan menempatkan jenama mereka lebih dekat dengan masyarakat sasaran,” kata Issey.
Issey juga sempat mengingatkan orang ramai untuk lebih berhati-hati dalam memilih pemaju rumah pada ketika pelbagai sindiket cuba menjerat mangsanya hari ini, dan ATH Group dijamin dan diyakini reputasinya sebagai pembina rumah bertauliah dan berpengalaman.
Sepanjang penganjuran karnival itu juga, ATH Group berjaya menjual tidak kurang daripada enam unit rumah dengan nilai keseluruhan RM984,000.
Karnival kebudayaan kukuh jenama pembina rumah mampu milik
#ATH Group #rumah mampu milik #Kelantan #rumah idaman #seni budaya #pemaju rumah
;