Karnival Jom Balik Dengan Selamat SKMM pupuk kesedaran pemanduan berhemah
Mariah Ahmad
September 6, 2015 17:41 MYT
September 6, 2015 17:41 MYT
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bakal menganjurkan Karnival Sampai Dengan Selamat buat tahun kedua berturut-turut pada minggu hadapan di Bulatan Bazarena, Shah Alam.
Menurut Ketua Bahagian Pos dan E-Dagang SKMM Mohd Zaidi Abdul Karim, karnival ini adalah satu inisiatif bagi meningkatkan kesedaran pemanduan secara berhemah terutama dalam kalangan 15,000 pemandu pos dan kurier.
Jelasnya, sebagai sebuah badan yang mengawal selia perkhidmatan pos dan kurier di negara ini, SKMM mahu memastikan warga kerja mereka dapat memandu secara professional ketika membuat perkhidmatan penghantaran barang kepada pelanggan.
"Jadi kita bukan sahaja mahu barang sampai dengan cepat, malahan pemandu dan penunggang juga perlu sampai dengan selamat dan mereka hendaklah mematuhi semua peraturan jalan raya seperti yang ditetapkan kerajaan," jelasnya kepada Astro AWANI pada Jumaat.
Menggunakan slogan 'Sampai Dengan Selamat', karnival ini juga sebagai peringatan kepada penunggang dan pemandu pos dan kurier untuk tiba di rumah mereka dengan selamat.
Kejohanan dan Karnival #Sampai Dengan Selamat 2014
Kejohanan dan Karnival #Sampai Dengan Selamat 2014
"Kita tidak mahu pekerja dilihat sebagai 'mat rempit'. Persepsi terhadap pekerja sebagai 'mat rempit' ini perlu dihapuskan sepenuhnya.
"Lebih penting lagi, karnival ini adalah untuk menumpukan kepada bagaimana kadar kemalangan jalan raya dalam negara ini dapat diturunkan," tambahnya lagi.
Temu bual bersama Ketua Bahagian Pos dan E-Dagang SKMM Mohd Zaidi Abdul Karim dalam Buletin AWANI pada Jumaat mengenai Karnival #Sampai Dengan Selamat 2015
Antara aktiviti menarik yang akan diadakan pada karnival pada 12 dan 13 September nanti adalah pertunjukan dron.
Dron kini dilihat sebagai alternatif proses penghantaran dalam industri e-Dagang yang semakin pesat ini.
"Penggunaan dron untuk menghantar barang telah digunakan di luar negara seperti Amazon, Google dan DHL.
"Banyak negara telah melakukan eksperimen mengenai dron ini, termasuk Malaysia. Dron ini juga berfungsi untuk mengambil gambar keseluruhan Bulatan Bazarena ketika karnival ini dijalankan."
SKMM mensasarkan seramai 15,000 orang akan hadir ke karnival ini.