Karnival JaminKerja: Buka peluang pencari kerja dekati majikan
Hasimi Muhamad
Februari 19, 2022 16:37 MYT
Februari 19, 2022 16:37 MYT
KUALA LUMPUR: Hampir lapan bulan mencari pekerjaan merupakan antara cabaran yang terpaksa dihadapi oleh segelintir mereka yang kehilangan pekerjaan dan juga para graduan.
Bagaimanapun, menerusi Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia (JaminKerja) 2022 yang dilancarkan pada Sabtu, ia memberi peluang yang lebih luas untuk kumpulan pencari pekerja mendekati bakal majikan.
Beberapa individu yang ditemui Astro AWANI menyifatkan, penganjuran karnival kerjaya seperti itu perlu diteruskan pada masa akan datang, khususnya ketika ramai yang masih bergelut mendapatkan pekerjaan.
Menurut bekas kakitangan bank, Mohd Ferdaus Mansor, 31, sejak kehilangan pekerjaan pada bulan Julai tahun lalu, dia terpaksa menyara kehidupan dengan menjual produk bekerja sambilan.
Mujur Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi sebanyak RM1,200 yang diterimanya selama tiga bulan meringankan beban sepanjang mencari peluang baharu.
"Bagi saya fizikal lebih mudah dan tepat untuk dekat dengan majikan itu sendiri. Sebab kita ada temu duga secara dalam talian dan fizikal.
"Jadi, lebih senang untuk berkomunikasi dengan panel-panel majikan. Sebab itu saya lebih suka untuk datang secara fizikal berbanding secara dalam talian," katanya ketika ditemui di sini pada Sabtu.
Sementara itu, graduan dalam jurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHA), Hairi Nazwan Haron, 24, berkata dia turut menyertai program upskilling dalam bahagian teknologi maklumat (IT) bagi menambah kemahiran, sekali gus memberikan kelebihan untuk memohon pekerjaan dalam bidang berbeza daripada latar pendidikannya.
"Bagi saya program karnival kerjaya ini sangat bagus, contohnya, saya yang baru habis belajar pada bulan lapan tahun lalu.
"Inisiatif (Karnival JaminKerja) sangat baik kerana dari bulan lapan hari itu (saya mencari pekerjaan). Di tambah pula ketika ini COVID-19, ia sangat susah untuk kita mencari kerja.
"Jadi bila ada karnival kerjaya ini dan menghimpunkan semua majikan di satu karnival, ia senang sebab kita akan pergi setiap booth untuk tengok yang mana jawatan kosong yang kita boleh pilih," ujar graduan Universiti Malaysia Pahang (UMP) itu.
Bagi Nurul Syafiqah Ishak, 25, pula, sebagai pencari kerja, dia bersedia untuk menerima apa sahaja tawaran memandangkan cabaran untuk mendapatkan pekerjaan ketika ini agak sukar.
Anak bongsu daripada empat beradik itu menambah, sudah lebih sebulan dia mencari pekerjaan selepas kontraknya sebagai pekerja dalam bidang logistik ditamatkan.
"Sebenarnya saya sudah berhenti dalam sebulan macam itu, cabaran (untuk dapatkan pekerjaan) itu agak sukar sebab COVID-19. Jadi ramai juga yang susah untuk dapat kerja, kena buang dan sebagainya," ujarnya yang berasal dari Alor Setar, Kedah.
Menerusi inisiatif JaminKerja, kerajaan menjamin penyediaan 600,000 peluang pekerjaan tahun ini dengan peruntukan RM4.8 bilion.
Sebanyak 12,000 peluang pekerjaan membabitkan 50 majikan ditawarkan menerusi Karnival Kerjaya JaminKerja 2022 yang dilancarkan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.
Karnival tersebut dianjurkan secara kerjasama antara Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Sumber Manusia (KSM) serta agensinya.
Inisiatif JaminKerja terdiri daripada tiga komponen utama iaitu Insentif Penggajian JaminKerja, MySTEP serta Program Latihan dan Peningkatan Kemahiran.
#Karnival Jamin Kerja
#Pencari kerja Malaysia
#Peluang pekerjaan 2022
#berita Malaysia
#JaminKerja
#majikan
#Pekerja
#graduan