Karmaine tidak tahu perihal kelapa sawit, dakwa Jeck Seng

Firdaus Azil
November 5, 2019 15:21 MYT
Wee Jeck Seng berucap dari atas sebuah kenderaan ketika berkempen bagi PRK Parlimen Tanjung Piai di Pasar Pagi Pekan Serkat Laut pada Selasa. - Gambar BERNAMA
Kenyataan calon Pakatan Harapan (PH), Karmaine Sardini bahawa harga kelapa sawit masih tinggi berbanding zaman Barisan Nasional (BN) adalah tidak benar, kata Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng.
Menurut calon BN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piau itu, di era pentadbiran PH, harga minyak sawit di Tanjung Piai berada di bawah paras RM400 dengan RM270/tan sebagai harga terendah yang dicatatkan.
Manakala ketika zaman pentadbiran BN, Jeck Seng berkata, harga minyak sawit berada pada paras RM400 ke atas selama hampir dua tahun bahkan pernah mencecah RM680.
“Tun Dr Mahathir Mohamad dilihat menjadi punca kepada kejatuhan harga minyak sawit yang berterusan ini kerana menyebabkan kepentingan rakyat terjejas akibat kuasa-kuasa besar. Patutkah rakyat berasa bersyukur atau meluahkan rasa tidak puas hati terhadap Kerajaan?
“Manakala Karmaine pula terbukti tidak mengetahui perihal sebenar berkaitan harga pasaran minyak sawit sejak beberapa tahun lepas, maka itu beliau mengeluarkan kenyataan sedemikian,” katanya dalam satu kenyataan kepada media hari ini.
Dalam satu siri ceramah kelompok baru-baru ini, Karmaine dilaporkan berkata, beliau mengambil maklum keresahan penduduk mengenai kejatuhan harga komoditi itu yang kini jatuh kepada paras RM270/tan.
Bagaimanapun, kenyataan beliau bahawa rakyat sepatutnya bersyukur kerana di zaman BN pernah jatuh ke paras RM84/tan menimbulkan kemarahan golongan peneroka dan pengusaha ladang kelapa sawit di sini.
“RM270 tu patut syukur sangat sebenarnya. RM270 tu banyak, bukan sikit... banyak sebenarnya.
“Kalau ada kebun 10 ekar, dapat lima tan paling tidak, lima tan kali RM270, dapat RM1,000 lebih.
“Duduk kampung apa sangat nak bayar? Nak makan sayur, tanam sendiri. Cuma yang perlu isi minyak. Benda ini kena syukur walaupun sedikit, kita masih dapat makan,” katanya seperti dilaporkan media.
#Johor #Karmaine Sardini #pilihan raya kecil #Pontian #Tanjung Piai #TanjungPiaiMemilih #Wee Jeck Seng
;