Karikatur atau penulisan ada kaitan sejarah hitam negara, satu provokasi - Pensyarah

Fareez Azman
Januari 4, 2021 13:27 MYT
Profesor Dr Zaid Ahmad berkata karikatur atau penulisan melibatkan elemen sejarah hitam negara adalah provokasi. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Karikatur atau penulisan yang dipaparkan di mana-mana kawasan atau tempat di negara ini tidak seharusnya melibatkan pihak yang mempunyai kaitan dengan sejarah hitam negara.
Demikian jelas Pensyarah Fakulti Ekologi Manusia, Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr Zaid Ahmad, berhubung isu karikatur dan kertas dinding di sebuah restoran di Pulau Pinang didakwa terdapat elemen Komunisme.
"Atas apa tujuan sekalipun, simbol-simbol sedemikian, tidak sesuai diangkat di negara ini. Simbol ini berbentuk gambar, karikatur, tulisan, motto ini simbol-simbol yang kita perlu sensitif. Saya lihat ada dalam kalangan orang muda dalam negara, mungkin membaca dan terpengaruh dengan perjuangan dan ideologi gerakan dilakukan seseorang tokoh.
"Meletakkan tokoh itu dibaju, namun jika tokoh itu tidak ada sejarah membabitkan negara kita tidak ada masalah. Sebagai contoh, Che Guevara, seorang tokoh pejuang haluan kiri di Argentina.
"Kita tidak pernah ada masalah dengan Argentina dan tidak ada sensitif dengan perkara itu, tetapi wallpaper ini kita perlu beri perhatian kerana ada sejarah dengan berkaitan negara ini," katanya ketika ditemu bual Astro AWANI pada Isnin.
Ujarnya, meskipun segelintir beranggapan dan melihat karikatur serta lukisan di dinding restoran berkenaan sebagai karya seni. Sebaliknya jelas Profesor Dr Zaid, jika simbol itu tidak selari dengan aspirasi serta pembangunan negara, tindakan tersebut boleh menimbulkan provokasi dan keresahan dalam kalangan masyarakat.
"Saya mengangap, sekiranya perkara ini dilakukan berterusan, saya anggap ia bentuk provokasi dimana mengangkat satu simbol tidak selari dengan aspirasi negara.Ia menimbulkan keresahan kepada masyarkat, pihak berkuasa boleh mengambil tindakan undang-undang, mungkin peringkat awal ini, kita berikan peringatan kefahaman mereka terlibat.
"Kalau sangka baik, mungkin ia tidak ada tujuan tertentu, (tetapi) ideologi (Komunisme) kita sudah haram dalam negara ini. Kalau tindakan itu dilakukan berterusan, kita ada peruntukan pihak berkuasa boleh diambil terhadap tindakan itu," katanya lagi.
BACA: Polis buka kertas siasatan restoran hias gambar pemimpin komunis
Pada Ahad (3 Januari), Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra'ais dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya sedang menjalankan siasatan terhadap pemilik sebuah restoran yang menghias dua premisnya dengan kertas dinding memaparkan elemen Komunisme dan pemimpin Komunis.
Terdahulu, satu video pihak polis menyiat kertas dinding di premis terbabit tular di media sosial. Tindakan itu mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk ahli politik yang mempertikai tindakan pihak berkuasa itu.
#PDRM #polis #siasatan #Kertas Dinding #karikatur #pulau pinang #restoran #provokasi #undang-undang #media sosial #Profesor Dr Zaid Ahmad #UPM #Masyarakat #Rukun Negara #Aspirasi Negara #Elemen Komunisme
;