Kardinal Roman Katolik pertama Malaysia meninggal dunia

Astro Awani
Oktober 28, 2020 14:06 MYT
Fernandez didiagnosis menghidap barah lidah pada November tahun lalu. - Facebook / soulsdepart
KUALA LUMPUR: Kardinal Roman Katolik pertama Malaysia, Anthony Soter Fernandez meninggal dunia pada jam 12.35 tengah hari Rabu pada usia 88 tahun.
Astro AWANI difahamkan, mendiang menghembuskan nafas terakhirnya di rumah jagaan warga tua, Little Sisters of the Poor St. Francis Xavier di Cheras.
Memetik kata pembantunya, Fernandez yang juga Archbishop Emeritus di Roman Catholic Archdiocese of Kuala Lumpur, sebelum ini dilaporkan menunjukkan tanda keuzuran ketika menerima rawatan bagi penyakit barah.
Fernandez didiagnosis menghidap barah lidah pada November tahun lalu. Semenjak itu, mendiang menjalani siri rawatan imunoterapi dan radioterapi sementara berehat di rumah jagaan warga tua berkenaan.
Bagaimanapun, berikutan situasi pandemik COVID-19, rumah tersebut tidak boleh dikunjungi pelawat, manakala urusan pengebumian nanti juga jumlah khalayak akan dihadkan.
Fernandez telah dilantik sebagai kardinal oleh pemimpin tertinggi Roman Katolik, Pope Francis, pada November 2016.
#Kardinal #Roman Katolik #kardinal pertama malaysia #anthony soter fernandez #barah #kanser #Pope Francis
;