Karakter Upin Ipin diangkat sebagai duta mahabbah - Maszlee
Bernama
Mac 6, 2019 09:08 MYT
Mac 6, 2019 09:08 MYT
Karakter animasi Upin dan Ipin diangkat sebagai duta mahabbah yang jelas memaparkan perasaan kasih sayang dan keharmonian rakyat Malaysia, kata Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.
Beliau berkata, elemen saling menghormati, sayang-menyayangi dalam kalangan pelbagai kaum di negara ini wujud dalam karakter Upin dan Ipin, sekali gus memainkan peranan mempromosikan budaya majmuk rakyat Malaysia.
"Watak Upin dan Ipin ini menggambarkan masyarakat majmuk yang saling menghormati, saling menghormati dan ini yang kita mahu bawa dalam kehidupan rakyat.
"Animasi ini juga berperanan dalam mempromosikan keharmonian, kemajmukan dan mahabbah (cinta dan kasih sayang) yang wujud dalam masyarakat di negara ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan malam gala filem animasi 3D bertajuk Upin Ipin: Keris Siamang Tunggal (UIKST) di GSC Mid Valley, Kuala Lumpur malam tadi.
Beliau berkata, animasi Upin dan Ipin terbitan Les' Copaque Production Sdn Bhd akan dibawa ke pasaran antarabangsa seperti United Kingdom dan Jepun bagi memperkenalkan karya anak tempatan sekali gus memartabatkan bahasa Melayu.
Maszlee berkata satu perbincangan dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya akan dilaksanakan dalam masa terdekat bagi merealisasikan perkara tersebut.
"Kita sering melihat animasi dari Jepun dan Hollywood masuk ke negara ini dengan lagu mereka menjadi ikutan anak-anak, jadi kita mahu tunjukkan Upin dan Ipin ke dunia luar bagi memperkenalkan bahasa Melayu ke persada antarabangsa," katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Les' Copaque Production Sdn Bhd Burhanuddin Md Radzi berkata filem animasi 3D UIKST yang bakal disiarkan di pawagam seluruh negara bermula 21 Mac ini menelan belanja hampir RM20 juta.
Menurutnya, filem tersebut bersedia memasuki pasaran luar seperti Taiwan selain Indonesia dengan kualiti alih bahasa yang dilakukan di luar negara supaya animasi tempatan dikenali di peringkat antarabangsa serta setanding karya-karya besar di luar negara.
"Filem ini mengambil masa lima tahun untuk penyelidikan dan penghasilan teknikal yang setanding filem animasi antarabangsa dengan mengutamakan budaya negara ini," katanya.
UIKST berkisar tentang pengembaraan Upin dan Ipin ke sebuah kerajaan Inderaloka selepas menemui sebilah keris Melayu dalam bilik stor milik Tok Dalang bernama Keris Siamang Tunggal.
Pengembaraan itu membawa kembar comel dan nakal itu bertemu pelbagai watak dongeng popular tempatan antaranya Mat Jenin, Si Tanggang, Bawang Putih Bawang Merah dan Pak Belalang.
Filem itu juga bakal ditayangkan di Indonesia, Brunei dan Singapura.
-- BERNAMA
#animasi
#Burhanuddin Md Radzi
#duta mahabbah
#filem animasi
#harmoni
#karakter
#kasih sayang
#kembar comel
#kerajaan
#Keris Siamang Tunggal
#Les' Copaque Production
#Maszlee Malik
#pelancongan
#rakyat Malaysia
#Upin dan Ipin