Kapten James cerita pengalaman menggerunkan

Bernama
Mei 14, 2013 22:56 MYT
"Pengalaman paling menakutkan sepanjang 48 hari terbang secara solo mengelilingi dunia ialah terbang dalam ribut petir dan menghadapi saat-saat bahan api pesawat beku".
Itu cerita rakyat Malaysia pertama yang membuat penerbangan mengelilingi dunia secara solo, Kapten James Anthony Tan kepada media selepas tiba di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Subang, dekat sini hari ini.
Kapten berusia 21 tahun itu berkata beliau berhadapan dengan ribut petir dan pesawatnya terbang di dalam keadaan hujan lebat semasa perjalanan dari Taiwan ke Jepun.
"Dari Juno (Amerika Syarikat) ke Vancouver (Kanada), tangki minyak nombor satu saya rosak dan saluran hidraulik bocor...seluruh papan pemuka bergegar dengan kuat...saya tidak tahu apa yang berlaku," katanya kepada media selepas pesawatnya mendarat pada pukul 4.30 petang ini.
Ketika terbang merentasi Selat Bearing pula, suhu di daratan adalah di bawah 20 darjah Celsius dan beliau terpaksa menggunakan pemutar skru untuk memecahkan air batu yang terperangkap dalam struktur dan komponen pergerakan pesawat.
Ia adalah pengalaman yang menakutkan tetapi beliau perlu melakukan apa yang akan dibuat juruterbang lain, iaitu bertenang dan tidak panik.
Misi oleh Tan, dari Sungai Long, Kajang itu meletakkan beliau dalam World Guiness Book of Records selepas berjaya menjadi juruterbang paling muda terbang secara solo mengelilingi dunia dalam tempoh masa terpantas. Rekod sebelum ini dipegang juruterbang berusia 22 tahun yang menamatkan perjalanan 80 hari pada 11 Julai tahun lepas.
Beliau juga adalah juruterbang paling muda dari Asean mencapai kejayaan itu. Ekspedisi itu membawa beliau ke 20 negara dengan 30 pendaratan, antaranya China, Jepun, Russia, Amerika Syarikat dan Kanada dengan perhentian akhir di Subang dekat sini.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada majlis khas sempena ketibaan Tan daripada misi '1Malaysia Mission Around the World' menyifatkan kejayaan Tan melakukan penerbangan solo itu adalah kejayaan besar buat negara.
Tan berkata beliau akan menceritakan secara terperinci mengenai pengalaman yang dilaluinya dalam buku yang akan diterbitkan tidak lama lagi.
Pengalaman sepanjang tempoh 48 hari melalui pelbagai negara itu membuatkan beliau amat bersyukur dilahirkan sebagai rakyat Malaysia.
"Malaysia adalah negara paling indah dan aman, saya tidak melihat banyak perbezaan kecuali beberapa isu...apa pun Malaysia amat bertuah," katanya.
Sementara itu, bapanya, Tan On Chin, 58, berkata beliau sentiasa risau, bimbang anak lelaki tunggalnya itu akan berhadapan dengan bahaya semasa menerbangkan pesawat dalam ekspedisi itu.
"Sebenarnya saya tidak mahu dia terbang kerana saya tidak nampak bagaimana dia boleh menjadikan impiannya satu kenyataan...saya kata kepadanya, dia tidak ada duit untuk membeli kereta bagaimana dia boleh mendapatkan sebuah pesawat," katanya sambil tersenyum.
Beliau berkata semasa kecil, anaknya itu mahu menjadi pemain bola sepak dan tiada di kalangan anggota keluarga mereka yang bekerja dalam bidang penerbangan sebelum ini.
#james anthony tan
;