'Kapla', lesen, buli... Kisah benar bekas pelajar pernah bersekolah bersama 'High Council'
Ridauddin Daud
Mac 18, 2023 17:35 MYT
Mac 18, 2023 17:35 MYT
ISU buli sebenarnya sudah berdekad lamanya membarah di sekolah.
Ia berlaku di banyak sekolah harian, malah dikatakan lebih serius di sekolah berasrama penuh. Bukan rahsia, ramai mengetahuinya cuma dalam kebanyakan kes, aktiviti ini tidak terdedah kepada umum.
Ramai pelajar dipercayai sudah menjadi mangsa, ramai juga menjadi 'pemangsa' sejak dahulu.
Fenomena drama Projek: High Council ketika ini yang berkisarkan kegiatan buli dan fraterniti di sekolah berasrama penuh membuka mata ramai orang, membuatkan lebih ramai cakna dengan isu buli di sekolah.
Namun, bagi mereka yang pernah melihat sendiri dan melalui 'zaman' persis seperti jalan cerita drama itu, mereka tahu bahawa ia mungkin 'kisah sekolah mereka'.
Salah seorang daripada mereka, Effendy Mustapha, yang pernah menjadi Ketua Umum di sekolahnya yang mempunyai fraterniti High Council, berkata gerakan itu mempunyai struktur tersendiri.
“Kita ada rumah sukan. Setiap rumah sukan ada top five. Dalam top five itu ada sorang ketua.
“Ada dalam kalangan Tingkatan Lima paling tinggi, ada pelapis juga, sampai dari Tingkatan Dua lagi dah dilatih.
“Pelajar Tingkatan Satu mereka tak kacau tapi dah tengok, dah cari calon-calon,” dakwanya.
Hampir 20 tahun meninggalkan alam persekolahan, memori 'zaman kehidupan asrama' tidak pernah hilang namun tidaklah menghantuinya.
Pada waktu itu, katanya semua aktiviti yang tidak selari dengan peraturan sekolah atau asrama yang dilihat sebagai 'keistimewaan' atau 'kenakalan', memerlukan ‘lesen’.
"Lesen nak ‘fly’, lesen nak buli junior, lesen nak rentas padang. Pendek kata, nak buat perkara nakal, semuanya kena ada lesen.
“Bila dengar ada kawan-kawan kena panggil, kena pukul dengan senior…merokok. Kita rasa macam benda itu sudah jadi biasa... Macam, okey... inilah sekolah aku… biasalah benda itu. Masa itu juga kita hidup dalam ketakutan, keputusan akademik pun entah ke mana,” dakwanya.
Lima tahun di sekolah tersebut, dia menyaksikan High Council berakar sehingga ke pelajar junior dan dia juga melihat sendiri bagaimana fraterniti itu tumbang.
Semuanya kerana seorang pengetua baharu yang disifatkan ‘gengster’ yang mengambil tindakan tegas membuang pelajar bermasalah, terutamanya ‘kapla-kapla’ dalam fraterniti itu.
“Kemuncaknya bila masuk akhbar, ada ibu bapa buat laporan perkara itu dah serius, kementerian campur tangan, mereka hantar seorang pengetua.
“Saya kata ‘pengetua gengster’ sebab nak lawan gengster kena gengster juga,” katanya tertawa.
“Dia betul-betul tegas, buang pelajar yang dah memang teruk sangat, tak boleh nak defend lagi. Batch saya pun ramai kena buang masa itu,” ujarnya.
Katanya, walaupun ceritanya kedengaran serius, namun percaya atau tidak, kisah itu hanya berlaku di sekolah dan terus terhenti apabila mereka tamat persekolahan.
Adam Effendy beberapa kali juga berjumpa bekas ahli-ahli dalam High Council selepas tamat zaman persekolahan namun perwatakan mereka sudah jauh berbeza, hilang sudah lagaknya sebagai ‘kapla’.
“Ada jumpa dulu, kita kata…eh kau dulu High Council kan? Eh mana ada, mana ada. Dia gelak-gelak sajalah. Kita pun tiadalah berdendam.
“Cuma saya rasa kalau mangsa buli itu, mungkin ada trauma. Benda itu kita kena tengok, kesan trauma itu berkekalan,” katanya.
Dia tidak menyalahkan sepenuhnya High Council kerana pada waktu itu, masing-masing di usia remaja, baru mengenal dunia namun menegaskan tidak menyokong gerakan sedemikian.
Begitupun, apa yang pasti, budaya di sekolah itu kini sudah jauh berbeza berbanding dua dekad lalu dan ia adalah legasi ditinggalkan pengetua tersebut.
Ikuti laporan versi visual kisah High Council ini dalam AWANI 745 malam ini, eksklusif di Saluran 501 dan semua platform digital Astro AWANI.