Kapit tuan rumah Sambutan Hari Keputeraan Agong peringkat negeri

Nuzuluddin Abdul Razak
Mei 20, 2022 16:05 MYT
John Sikie (empat dari kanan) berkata, sambutan secara fizikal itu akan berlangsung selama dua hari bermula 5 hingga 6 Jun ini di Kapit Town Square.
KUCHING: Bahagian Kapit akan menjadi tuan rumah untuk Sambutan Perayaan Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah peringkat negeri Sarawak tahun 2022.
Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk John Sikie Tayai berkata sambutan secara fizikal itu akan berlangsung selama dua hari bermula 5 hingga 6 Jun ini di Kapit Town Square.
Sambutan yang diiringi orkestra dan persembahan Konsert Simfoni itu akan dihadiri tetamu kehornat Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud serta isteri, Toh Puan Ragad Kurdi Taib.
“Sambutan rasmi akan diadakan Majlis Jamuan Teh pada 6 Jun di Kapit Town Square diserikan dengan acara pembuka tirai dengan tarian pembukaan ‘Ngajat Pua Kumbu’ diikuti satu video khas bertajuk ‘Mahkota di-Raja’.
“Seperti sambutan tahun lalu, kita juga akan menerbitkan sebuah lagu khas berjudul ‘Simfoni Tuanku’, kemudian persembahan drama tari berjudul Lagenda Menggun dan Tincjin Temaga selain persembahan medley lagu-lagu etnik Sarawak,” katanya dalam satu sidang media di Bangunan Wisma Bapa Malaysia Kuching pada Jumaat.
Kali terakhir Sambutan Perayaan Hari Keputeraan Rasmi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong peringkat negeri Sarawak diadakan secara fizikal ialah di Sri Aman pada September tahun 2018.
Semasa negara menguatkuasakan perintah kawalan pergerakkan dalam fasa pandemik, sambutan berkenaan masih diadakan tetapi melalui siaran digital dan televisyen di seluruh negeri.
#hari keputeraan agong #John Sikie Tayai #sambutan #Kapit
;