Kapasiti PKRC MEC masih mencukupi - Jabatan Kesihatan P. Pinang

Bernama
Ogos 11, 2021 16:47 MYT
DR ASMAYANI: Kita melihat bilangan kes harian COVID-19 ada peningkatan sejak tiga minggu yang lalu, jadi kita kena bersiap sedia. - Gambar fail
GEORGE TOWN: Kapasiti Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Pusat Kecemerlangan Mara (MEC) Jawi di Nibong Tebal, masih mencukupi pada masa ini walaupun terdapat peningkatan kes harian baharu.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) Datuk Dr Asmayani Khalib berkata, PKRC MEC itu mempunyai 1,008 katil, manakala PKRC Pusat Latihan Zakat (PULAZA) di Balik Pulau yang mempunyai 190 katil, kini tidak beroperasi dan diletakkan dalam mod siap sedia.
"Kita melihat bilangan kes harian COVID-19 ada peningkatan sejak tiga minggu yang lalu, jadi kita kena bersiap sedia," katanya kepada pemberita selepas menerima sumbangan peralatan perubatan dan elektrik dari syarikat Jambatan Kedua Sdn Bhd hari ini.
Mengulas mengenai sumbangan yang bernilai RM27,090 itu, Dr Asmayani berkata semua peralatan itu akan diletakkan di PKRC MEC, yang kini menempatkan pesakit kategori satu dan dua COVID-19 lelaki dan perempuan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif JKSB, Faisal Shahbudin berkata antara barang yang disumbangkan adalah lampu pemeriksaan, mesin monitor pesakit, alat imbas suhu badan, troli, rak ubatan, peti sejuk dan televisyen.
"Kita sedang berjuang dalam mengawal penularan pandemik COVID-19 dan hospital-hospital telah beroperasi pada paras maksimum. Kita juga sedar akan cabaran yang dihadapi oleh petugas barisan hadapan...oleh itu, JKSB berbesar hati untuk membantu mereka yang memerlukan.
"Kami berharap bantuan ini membolehkan institusi-institusi kesihatan di Pulau Pinang terus memberikan perkhidmatan sewajarnya kepada masyarakat yang terkesan akibat pandemik ini," katanya.
-- BERNAMA
#PKRC #pusat kuarantin #rawatan #COVID-19 #MEC #Nibong Tebal #kes harian #Asmayani Khalib #pulaza
;