Kapasiti besar hospital kerajaan boleh dimanfaat, tambahan pendapatan - Barjoyai
Israr Khalid
Oktober 8, 2022 09:30 MYT
Oktober 8, 2022 09:30 MYT
KUALA LUMPUR: Pandemik telah mengembangkan kapasiti hospital di seluruh negara untuk menampung lambakan pesakit COVID-19, baik tenaga kerja, katil juga peralatan rawatan lain.
Apabila kini kita sudah memasuki fasa peralihan ke endemik, ia meninggalkan banyak ruang yang tidak diisi apabila kadar kemasukan ke hospital beransur menurun.
Keadaan demikian, kata Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai, elok dimanfaatkan dengan satu lagi kelas perkhidmatan, antara yang premium dan yang percuma.
Jelasnya, pada satu masa sebelum ini, negara menyaksikan berpuluh ribu katil penuh digunakan dan ia berupaya menguruskannya.
Maka. kapasiti ini tidak harus disia-siakan, sebaliknya perlu dimanfaatkan dan dijadikan satu industri supaya negara boleh mewujudkan perkhidmatan yang dipanggil “cross subsidy.”
“Mungkin kita sekarang ini ada hospital swasta, dan hospital kerajaan pun ada unit swasta, iaitu unit premium, yang mengenakan harga yang premium.
“Tetapi, kita mungkin perlu ada Kelas Dua atau Tiga untuk membolehkan orang ramai yang tidak boleh pergi ke kelas premium, tetapi mampu untuk dapat lebih sedikit daripada yang percuma," katanya.
Andai itu dapat dilaksanakan, jelas beliau, ia sekali gus memberikan pendapatan kepada hospital dan hasilnya boleh digunakan untuk menolong subdisikan kelas yang bawah.
Akhirnya nanti, katanya, semua orang akan mendapat perkhidmatan yang baik dan cemerlang.