Kapal Zaytouna ditawan Israel: Reaksi suami Dr Fauziah Mohd Hasan

Astro Awani
Oktober 5, 2016 00:57 MYT
Selain Dr Fauziah (kanan), delegasi wanita dari negara lain adalah dari Tunisia, Israel, Algeria, Kanada, Turki, Amerika Syarikat, Sweden, Ireland, New Zealand dan Australia. - Foto Twitter GazaFFlotilla
Aktivis dan juga juga doktor perubatan dari Malaysia yang mengikuti pelayaran kapal Zaytouna-Oliva dalam misi ke Gaza, Dr. Fauziah Hassan yang kini ditawan Israel, memang sudah bersedia dengan kemungkinan seumpamanya.
Perkara itu diungkapkan oleh suami beliau, Prof Dr Alauddin Mohd Ali sewaktu dihubungi Astro AWANI pada jam 12 tengah malam tadi.
“Sememangya, semasa beliau ditawarkan untuk turut serta (dalam misi tersebut), kami sudah membincang tentang keadaan atau senario yang mungkin berlaku.
“Dan sememangnya ini adalah senario yang paling besar kemungkinan berlaku dan beliau memang bersedia untuk keadaan itu,” ujar Prof Dr Alauddin.
Menurutnya, berita tentang perkembangan isteri beliau sepanjang misi tersebut didapatkan secara terus dari pejabat MyCare di Serdang, selain makluman secara berkala daripada pihak penganjur misi Women’s Boat to Gaza, Freedom Flotilla Coalition (FFC).
Ditanyakan mengenai reaksi dan tindakan keluarga dalam perkembangan itu, Prof Dr Alauddin menjawab: “Bagi pihak keluarga, kami memang bersedia (dalam keadaan ini) sebab besar kemungkinan bot ini akan ditahan pihak Israel.
“Jadi, kami sebenarnya mengikut apa juga tindakan-tindakan yang akan dibuat oleh pihak MyCare dan jugak pihak FFC, iaitu mereka akan menghubungi peguam-peguam, (uruskan) kenderaan dan sebagainya, untuk mengusahakan pembebasan tahanan-tahanan itu.
BACA: Kapal Zaytouna-Oliva pembawa harapan ke Gaza ditawan Israel
BACA: Women's Boat to Gaza mahu 'pecah' kepungan Israel
#Alauddin Mohd Ali #fauziah mohd hasan #Gaza #Israel #kapal Zaytouna-Oliva #reaksi keluarga
;