Kapal USS Blue Ridge berlabuh di Pelabuhan Klang, perkukuh hubungan Malaysia-AS

Farhan Hakimi
Julai 17, 2024 17:10 MYT
Ketibaan kapal USS Blue Ridge (LCC19) di Pelabuhan Klang pada Rabu menandakan komitmen Amerika Syarikat dalam memperkukuh hubungan bilateral dengan Malaysia. -Astro AWANI
KLANG: Ketibaan kapal Tentera Laut Amerika Syarikat, USS Blue Ridge (LCC19) di Pelabuhan Klang pada Rabu menandakan komitmen Amerika Syarikat dalam memperkukuh hubungan bilateral dengan Malaysia.
Menurut Pegawai Pemerintah Armada Ketujuhnya, Kapten Nicholas C. DeLeo, aspek yang akan diperkasakan adalah ketenteraan dan keselamatan maritim yang terjalin dengan Malaysia sejak tahun 1957.
Antara lain yang akan difokuskan sempena lawatan ialah pembanterasan aktiviti keganasan dan keselamatan serantau.
Katanya lagi, Malaysia merupakan rakan strategik utama di rantau ini dan beberapa peluang akan diteroka pihaknya bagi perkongsian maklumat dengan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
"Para anggota sangat menanti-nantikan lawatan ini kerana selain makanan, sisi lain (Malaysia) dapat diteroka.
"Dalam lawatan ini juga kami akan anjurkan beberapa aktviti kesukanan seperti perlawanan bola tampar dan juga bola sepak.
"Kerjasama berterusan ini amat penting dan signifikan bagi kedua-dua negara dalam memperkukuhkan lagi hubungan diplomatik sedia ada," katanya pada sesi lawatan kapal Armada Ketujuh USS Blue Ridge (LCC 19) bersama pengamal media di Terminal Pelayaran Pelabuhan Klang (PKCT) hari ini.
Kapal induk yang dikemudi Komandernya, Timbalan Admiral Fred Kacher tersebut berlabuh di dermaga kira-kira jam 9.30 pagi dan disambut Inspektor Jeneral TLDM, Laksamana Muda Abdullah Sani Ismail bersama sepasukan pegawai dan anggota.
Sementara itu, salah seorang anggota, Ensign Eric Ding turut berkongsi keterujaan untuk berinteraksi bersama warga Malaysia.
Beliau turut berkongsi pengalaman peribadinya dalam pasukan tentera laut yang disifatkan banyak merubah karakternya sebagai seorang individu.
"Bagi saya kehidupan sebagai seorang anggota tentera laut sangat sinonim dengan sifat saya yang gigih dalam menuntut ilmu.
"Ini kerana dalam pasukan tentera laut, ia melibatkan aspek intelektual selain memerlukan kekuatan fizikal serta motivasi.
"Ia melibatkan pelbagai cabaran seperti daya fikir untuk menyelesaikan masalah serta memastikan keadaan kapal sentiasa berada pada tahap yang selamat," ujarnya.
Ini merupakan lawatan kali kedua kapal tersebut selepas berlabuh di Kota Kinabalu pada tahun 2019.
Dirasmikan pada tahun 1970, kapal tersebut merupakan kapal Tentera Laut Amerika Syarikat yang kedua tertua selepas kapal 'USS Constitution'.
Peranan kapal tersebut antara lain, adalah memastikan hubungan dengan negara-negara sekutu Amerika Syarikat diperkukuh menerusi beberapa siri lawatan ke pelabuhan.
#TLDM #USS Blue Ridge #LCC19 #Pelabuhan Klang
;