Kapal tunda dari Iran masuk ke terminal Butterworth kerana kecemasan

Bernama
Disember 19, 2020 06:15 MYT
Sumber PPSB berkata, masalah kapal MV Fire Man Zanzibar itu bermula dalam perjalanan dari Filipina ke Dubai.
BUTTERWORTH: Sebuah kapal tunda dari Iran dengan tiga anak kapal disahkan masuk ke perairan negeri ini selepas seorang daripada anak kapal mengalami masalah kesihatan dan dihantar ke Hospital Seberang Jaya.
Sumber Penang Port Sdn Bhd (PPSB) ketika dihubungi Bernama berkata masalah kapal MV Fire Man Zanzibar itu bermula dalam perjalanan dari Filipina ke Dubai setelah kehabisan minyak, sebelum ia ditunda oleh sebuah lagi kapal yang mengalami kerosakan dan bersauh di perairan Johor pada 11 Dis lepas.
Pihak berkuasa negara mengetahui akan keberadaan kapal itu di perairan negara serta memantau dan cuba memberi bantuan.
"Kapal itu kemudian singgah di Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT) atas alasan kecemasan apabila seorang daripada anak kapal itu jatuh sakit.
"Ketiga-tiga kru berusia dalam lingkungan 30-an juga memaklumkan kehabisan minyak serta duit, mereka juga memberitahu gagal menghubungi syarikat kapal itu di Iran," katanya malam tadi.
Sebuah portal berita semalam melaporkan Jabatan Marin sedang menyiasat bagaimana kapal tunda Iran itu memasuki secara haram perairan Malaysia baru-baru ini dan bersauh tanpa pengetahuan pihak berkuasa di kawasan operasi Pulau Pinang.
-- BERNAMA
#kapal tunda #PPSB #kecemasan #NBCT #Iran #masuk perairan negara #Jabatan Marin #Siasat #haram #sauh #pulau pinang #kehabisan minyak #kru kapal #anak kapal #Hospital Seberang Jaya #Filipina #Dubai #MV Fire Man Zanzibar #sakit #perairan johor
;