Kapal terkandas di Terusan Suez

Bernama
Januari 9, 2023 10:32 MYT
Lt. Jen Osama Rabie, ketua Pihak Berkuasa Terusan Suez, memberitahu bahawa kejadian itu tidak menjejaskan lalu lintas di laluan berkenaan. - Gambar hiasan/ Reuters
ISTANBUL: Sebuah kapal terkandas di Terusan Suez berhampiran bandar al-Qantara dan pihak berkuasa laluan air itu sedang cuba mengapungkannya, kata sebuah syarikat perkapalan pada Isnin.
"M/V GLORY terkandas semasa menyertai konvoi ke Selatan berhampiran al-Qantara," lapor Agensi Berita Anadolu memetik tweet Leth Agencies.
"Pihak berkuasa Terusan Suez mengesahkan kapal itu terkandas dan kini cuba mengapungkannya," menurut syarikat itu.
Laporan itu menyebut Lt. Jen Osama Rabie, ketua Pihak Berkuasa Terusan Suez, memberitahu TV Al-Arabiya bahawa kejadian itu tidak menjejaskan lalu lintas di laluan berkenaan.
-- BERNAMA
#kapal terkandas #Terusan Suez #lalu lintas #laluan perdagangan