JOHOR BAHRU: Jenazah anggota penyelam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang meninggal dunia ketika melaksanakan operasi salvaj untuk menyelamatkan bangkai Kapal Diraja (KD) Pendekar yang karam di perairan Tanjung Penyusop, Kota Tinggi pada Rabu dituntut ahli keluarga selepas proses bedah siasat selesai pada Khamis.

Jenazah Laskar Kelas 1 PLM Arman San Hermansa, 28, dituntut isterinya, Norazliana Bakric, 25, di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini, pada jam 12.50 tengah hari bagi urusan pengebumian di kampung halamannya di Lahad Datu, Sabah.

Suasana pilu menyelubungi perkarangan jabatan perubatan forensik hospital berkenaan apabila kira-kira 100 ahli keluarga serta anggota dan pegawai TLDM hadir bagi memberikan penghormatan terakhir.



Jenazah Allahyarham kemudiannya dibawa dari HSI ke Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS), menggunakan van jenazah TLDM sebelum diterbangkan ke Lapangan Terbang Tawau, Sabah menggunakan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Terdahulu TLDM dalam satu kenyataan mengesahkan kejadian yang menimpa mangsa yang merupakan anggota penyelam ranjau dari Marks Selam dan Peperangan Periuk Api (MSPPA) TLDM.

Susulan insiden itu satu lembaga siasatan khas telah ditubuhkan bagi mengenal pasti punca kejadian.



TLDM juga akan memastikan segala bentuk bantuan dan sokongan disalurkan kepada keluarga Allahyarham.

Untuk rekod, KD Pendekar Tenggelam di perairan Tanjung Penyusop selepas mengalami kebocoran dipercayai akibat terlanggar objek bawah air, Ahad lalu.

Bagaimanapun, usaha pantas daripada komuniti maritim berjaya menyelamatkan kesemua 39 kru sebelum kapal itu tenggelam sepenuhnya di lokasi. -- Sinar Harian