Kapal tangki Panama ditahan, berlabuh tanpa kebenaran
Muhammad Aiman Hakeem
Februari 1, 2022 16:55 MYT
Februari 1, 2022 16:55 MYT
KOTA TINGGI: Sebuah kapal tangki berdaftar dari Panama yang disyaki bersauh tanpa kebenaran, ditahan di perairan Johor Timur di sini, pada Isnin.
Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, kapal tangki sepanjang 243 meter itu telah ditahan pada jam 1 petang semalam di kedudukan 11.6 batu nautika Timur Tanjung Balau.
"Penahanan turut melibatkan seramai 24 kru lelaki terdiri dari warga Ukraine, India dan Rusia yang berumur antara 21 hingga 49 tahun.
"Kesemua mereka mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.
"Pemeriksaan lanjut mendapati nakhoda telah gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh dan turut memberikan alasan menunggu arahan perlayaran seterusnya dari pihak syarikat.
"Pihak syarikat perkapalan dinasihatkan agar mengambil serius mengenai prosedur dan peraturan sebelum memasuki dan bersauh di mana-mana perairan di Malaysia," katanya menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan bersauh tanpa kebenaran.