Kapal tangki minyak MT Vier Harmoni berjaya dikesan semula
Astro Awani
Ogos 17, 2016 20:51 MYT
Ogos 17, 2016 20:51 MYT
Kapal tangki minyak MT Vier Harmoni yang dilaporkan hilang berjaya dikesan semula dan semua anak kapal dilaporkan selamat.
Pengarah Penguatkuasaan dan Eksesais, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Laksamana Pertama Maritim Datuk Mohd Taha Ibrahim berkata, siasatan awal mendapati kapal berkenaan dilarikan orang.
"Siasatan awal mendapati kehilangan kapal itu bukan berpunca daripada rompakan atau kecurian.
"Sebaliknya kehilangan kapal tersebut berkait rapat dengan masalah dalaman di antara pemilik, penyewa dan kru kapal," katanya dalam kenyataan.
APMM masih belum mengenal pasti suspek yang bertanggungjawab melarikan kapal tangki itu dan siasatan masih dijalankan.
Tambah Mohd Taha, pencarian MT Vier Harmoni dilakukan di sepanjang perairan negara berhampiran kawasan sempadan Malaysia-Indonesia.
Selain itu, Maritim Malaysia juga telah meminta bantuan agensi penguat kuasa Indonesia dan Singapura untuk membuat pencarian dan mengesan kapal tersebut di dalam perairan negara masing-masing.
Kapal yang membawa 10 kru warga Indonesia dan didaftarkan di Batam, Indonesia itu disedari hilang oleh ejen pada jam 5 petang semalam dan kini dipercayai berada di perairan Batam.
Kapal sepanjang 53 meter itu belayar dari pelabuhan Tanjung Pelepas di Johor kelmarin dengan membawa muatan 900,000 liter diesel dianggar bernilai RM1.57 juta.