Kapal tangki ditahan gagal kemuka kebenaran bersauh di Pengerang

Bernama
Februari 7, 2019 05:57 MYT
Anggota APMM Zon Maritim Tanjung Sedili menahan sebuah kapal tangki kerana gagal mengemukakan kebenaran bersauh di Perairan Pengerang, Kota Tinggi, 7 Feb, 2019. --fotoBERNAMA
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Tanjung Sedili menahan sebuah kapal tangki kerana gagal mengemukakan kebenaran bersauh di perairan Pengerang dekat Kota Tinggi, pada Khamis.
Pengarahnya, Kapten Maritim Mohd Zulfadli Nayan berkata kapal berkenaan ditahan kira-kira 1.30 petang di kedudukan kira-kira 1.8 batu nautika tenggara Tanjung Ayam.
"Kapal tangki tanpa muatan terbabit ditahan kapal ronda APMM menerusi Op Khas Pagar Laut 1/2019 yang bermula pada 26 Jan lalu sempena perayaan Tahun Baharu Cina.
"Kapal itu ditahan setelah pemeriksaan mendapati kapal tangki tersebut gagal mengemukakan kebenaran bersauh dari Pengarah Laut Malaysia," katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.
Beliau berkata kapal tangki berdaftar di Pelabuhan Klang itu dikendalikan sembilan kru termasuk nakhoda berumur lingkungan 26 hingga 66 tahun dan kesemua mereka merupakan warga Indonesia.
Mohd Zulfadli berkata seorang kru kapal tangki itu dibawa ke pejabat Zon Maritim Tanjung Sedili untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 491B (l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana bersauh tanpa kebenaran.
Beliau berkata penahanan kapal terbabit merupakan kes keempat selepas tiga kapal tangki lain ditahan atas kes sama pada 28 Jan serta 1 dan 4 Feb lepas, di perairan sama, menerusi Op Khas Pagar Laut 1/2019.
"APMM sentiasa memandang serius terhadap pematuhan undang-undang dan akan sentiasa mengambil tindakan sewajarnya demi memastikan kesejahteraan perairan negara," katanya.
-- BERNAMA
#APMM #kapal tangki #kebenaran bersauh #Kota Tinggi #Op Khas Pagar Laut #Pelabuhan Klang #Tanjung Sedili #warga Indonesia
;