Kapal persiaran mula beroperasi di Pulau Pinang

Bernama
Disember 4, 2021 18:14 MYT
Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang, Datuk Tan Teik Cheng berucap semasa mengumumkan pembukaan kembali aktiviti kruis domestik di Terminal Kapal Persiaran Swettenham hari ini. - Foto BERNAMA
GEORGE TOWN: Sebuah syarikat kapal persiaran akan memulakan kembali operasi melibatkan destinasi domestik dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bermula 22 Dis ini di Pulau Pinang.
Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) Datuk Tan Teik Cheng berkata kerajaan telah membenarkan operasi kapal pelayaran domestik dan syarikat Genting Cruise Lines akan memulakannya di Terminal Swettenham Pier Cruise (SPCT), di sini.
"Kami berbesar hati mengumumkan bahawa industri kapal pelayaran akan kembali beroperasi dan ini akan merancakkan pertumbuhan pelancongan domestik dan ekonomi dengan pelancaraan pengembaraan selain akan memberi peluang pekerjaan kepada kru kapal pelayaran.
"SPPP akan bekerjasama dengan Genting Cruise Lines bagi memastikan perkhidmatan yang disediakan adalah selamat dan selesa, jadi penumpang tidak perlu risau kerana SPCT dikawal dengan rapi untuk keselamatan penumpang dengan adanya SOP yang ketat serta panduan bagi membendung penularan COVID-19.
"Pada 2019 kami menerima 1.5 juta penumpang kapal pelayaran membabitkan kira-kira 20 syarikat yang beroperasi di SPCT namun operasi terpaksa dihentikan pada Mac tahun lepas berikutan wabak COVID-19," katanya pada sidang media mengenai pembukaan semula aktiviti kapal pelayaran domestik yang turut dihadiri Timbalan Presiden Bahagian Jualan Genting Cruise Lines Cynthia Lee di SPCT hari ini.
Lee berkata pihaknya yang akan menggunakan kapal persiaran Star Pisces, menawarkan lima pelayaran setiap minggu dengan perjalanan balik pergi dan balik dari Pulau Pinang termasuk pakej dua malam ke Langkawi, Kedah dan satu malam ke Selat Melaka bermula dari RM199.
"Star Pisces akan beroperasi dengan had penumpang sebanyak 50 peratus iaitu lebih 850 penumpang tidak termasuk kru iaitu kira-kira 400 hingga 500 orang. Kami mengambil pelbagai langkah kawalan pencegahan yang dipertingkatkan di mana ia selaras dengan keperluan tempatan dan piawaian antarabangsa.
"Setiap individu di atas kapal pelayaran hendaklah lengkap vaksinasi dan penumpang yang ingin memulakan perjalanan harus membuat Antigen Rapid Test (ART) sebelum menaiki kapal yang dijalankan di SPCT bagi memastikan keselamatan penumpang serta kru yang lain di atas kapal," katanya.
Beliau berkata kebenaran operasi kapal pelayaran akan memberikan nafas baru kepada industri ini dan orang ramai termasuk pelancong antarabangsa yang telah melengkapkan tempoh kuarantin dan perintah pengawasan boleh membuat tempahan bermula pertengahan bulan ini.
"Star Cruises juga membenarkan 100 peratus udara segar dari luar untuk ditapiskan dan disalurkan kepada keseluruhan kapal termasuk bilik kabin dan kami juga menyediakan doktor dan jururawat termasuk pegawai kawalan jangkitan, pusat perubatan dengan mesin Polymerase Chain Reaction (PCR) bagi tujuan ujian COVID-19 di atas kapal serta kabin pengasingan," katanya.
-- BERNAMA
#kapal persiaran #Genting Cruise Lines #pulau pinang #Tan Teik Cheng #Star Pisces #Star Cruises
;