Kapal pasir berlabuh tanpa kebenaran ditahan
Sinar Harian
September 5, 2022 06:20 MYT
September 5, 2022 06:20 MYT
KLANG: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor menahan sebuah kapal pasir dipercayai berlabuh tanpa kebenaran berhampiran Sungai Kembung, Pulau Indah di sini, pada Sabtu.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Selangor, V Siva Kumar berkata, kapal tersebut ditahan kira-kira jam 2.30 petang oleh bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan Op Ehsan di perairan negeri ini.
Hasil pemeriksaan mendapati, kapal itu telah melakukan kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 kerana berlabuh di kawasan larangan dan gagal memaklumkannya kepada Pengarah Jabatan Laut Malaysia.
"Pemeriksaan awal dijalankan turut mendapati kapal pasir itu dikendalikan sembilan kru warga Indonesia dan seorang warga China yang mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Katanya, bagaimanapun nakhoda kapal tersebut gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh.
"Perintah penahanan ke atas kapal tersebut kemudiannya dikeluarkan dan dua kru kapal tersebut iaitu nahkoda dan penolong jurutera kapal dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Malaysia Selangor untuk siasatan lanjut.
"Maritim Malaysia sentiasa memandang serius sebarang salah laku undang-undang di laut dan tindakan tegas akan diambil demi memastikan kesejahteraan perairan negara terpelihara," katanya.
Menurutnya, pengusaha atau pemilik kapal dinasihatkan agar memohon kebenaran bersauh daripada Jabatan Laut Malaysia Malaysia sebelum melabuhkan sauh.
"Pengusaha dan pemilik kapal diingatkan agar mematuhi peraturan sebelum melakukan sebarang aktiviti di perairan Malaysia.
"Sebarang aduan atau maklumat mengenai kegiatan jenayah maritim serta kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Malaysia Selangor di talian 03-31760627 atau talian kecemasan MERS 999 untuk tindakan segera," katanya. -Sinar Harian