Kapal nelayan moden tingkatkan hasil tangkapan
Nur Fazlizai Ali
September 11, 2022 07:00 MYT
September 11, 2022 07:00 MYT
KUALA TERENGGANU: Pembinaan kapal nelayan moden hasil kerja anak Terengganu yang mendapat pengiktirafan Badan Kawal Selia Pembinaan Kapal Negara dan Badan Klasifikasi Kapal Malaysia (SCM) menjadi penanda aras baru dalam sektor berkenaan.
Pengurus besar MSET Shipbuilding Corporation Sdn Bhd, Khairul Aznam Allias berkata, kapal sepanjang 29 meter dengan sistem tangkapan pukat jerut 'purse seiner' itu mampu menyimpan 120 tan hasil tangkapan pada satu satu masa.
Menurut Khairul Aznam, ia juga memenuhi polisi ‘hygiene on board' (HOB), yang ditetapkan Jabatan Perikanan Malaysia untuk beroperasi di perairan Asia Tenggara.
"Kelebihan kapal besi, ianya tahan cuaca di mana walaupun ombak tinggi ia lebih boleh pergi ke laut berbanding dengan kapal-kapal kayu yang biasa.
"Satu lagi kelebihan kapal besi ini, ia memastikan keselamatan dan keselesaan anak-anak kapal. Kapal kayu mempunyai masalah dengan keselamatan, ia tidak dilengkapi dengan alat-alat keselamatan.
"Sekiranya ada kebocoran pun mereka menggunakan teknologi lama tapi kelebihan kapal besi ini, kebarangkalian untuk bocor adalah cukup nipis dan juga kita menggunakan peralatan terkini," katanya.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Amir Vision Sdn Bhd, Ahmad Syafiq Sahamudin berkata, pihaknya membelanjakan RM8 juta untuk menempah kapal berkenaan.
"Kapal yang kami bina ini adalah satu benchmark di mana kapal ini dapat meningkatkan lagi sumber yang didapati oleh negeri Terengganu.
"Kami berhasrat untuk menambahkan lagi pendapatan di negeri Terengganu khususnya dan juga menolong pihak kerajaan dan juga badan-badan swasta dalam industri perikanan," katanya.
Pembinaan kapal berkenaan menjadi projek perintis yang mampu mengangkat martabat sektor perikanan serta mengatasi masalah pencerobohan nelayan asing di perairan negara.