Kapal MV Sah Lian ditemui
Astro Awani
September 10, 2015 22:09 MYT
September 10, 2015 22:09 MYT
Kapal kargo MV Sah Lian yang dilaporkan hilang di Laut China Selatan sejak 7 September lalu telah berjaya ditemui petang Khamis.
Ketua Penguatkuasa Maritim Wilayah Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Ismaili Bujang Pit berkata, kapal tersebut telah berjaya ditemui kira-kira jam 4 petang tadi kira-kira 30 batu nautika dari Miri.
"Kapal berkenaan yang dilaporkan mengalami kerosakan telah berjaya dikesan kapal Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) KM Mersuji yang mana pemeriksaan oleh APMM juga mendapati kesemua anak kapal berkenaan dilaporkan selamat," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini, hari ini.
Sebelum ini, Ismaili berkata, kapal berkenaan telah ditemui sebuah kapal dagang milik syarikat lain kira-kira 23 batu nautika dari Miri jam 5 petang Rabu dan telah menghubungi pemilik kapal bagi memaklumkan penemuan kapal tersebut.
Pagi tadi, katanya pemilik telah memaklumkan perkara tersebut kepada pihak APMM dan pihaknya terus mengerahkan anggotanya ke lokasi yang dinyatakan.
Namun menurut beliau, pihaknya gagal menemui kapal berkenaan setibanya di lokasi terbabit kerana dipercayai telah hanyut dibawa arus.
Secara keseluruhan, sejumlah empat kapal dan tujuh bot serta bantuan udara dari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Labuan terlibat dalam operasi pencarian itu.
Kapal kargo milik Kian Lian Shipping Sdn Bhd itu berlepas dari pelabuhan Kuching pada 2 September lalu dan dijadualkan tiba di Limbang empat hari kemudian, namun dilaporkan hilang di Laut China Selatan, Sabtu lalu, ketika dalam pelayaran.
Ia dikendalikan oleh seorang kapten warga Indonesia serta 13 anak kapal yang terdiri daripada dua warga Indonesia, lima warga Myanmar, empat warga India dan tiga rakyat tempatan.
Kapal berkenaan dikatakan membawa muatan berjumlah 500 tan barangan am.
Ia dilaporkan hilang di Laut China Selatan, Sabtu lalu, ketika dalam pelayaran dari Kuching ke Limbang.