Kapal LMS Batch II digeruni kekang pencerobohan asing di Laut China Selatan

Dagang News
September 30, 2024 11:00 MYT
Kapal LMS berdasarkan rekaan korvet kelas Ada menjadikan TLDM digeruni dan mampu mengekang pencerobohan asing di Laut China Selatan. - Foto DagangNews
KUALA LUMPUR: Kapal misi pesisir (LMS) Batch II Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bakal menjadi aset yang digeruni berdasarkan spesifikasi kapal tersebut yang telah dimuktamadkan.
Tiga buah LMS dibina mengikut rekaan korvet kelas Ada oleh syarikat Turkiye, Savunma Teknolojieri Muhendiskil (STM) ini menepati keperluan TLDM untuk melaksanakan pelbagai tugas.
Sepertimana yang diketahui, TLDM memerlukan kapal-kapal LMS Batch II bagi memperkasakan rondaan dan pengawasan di perairan Laut China Selatan.
Berdasarkan spesifikasi yang dikongsikan pihak STM menerusi laman web syarikat, LMS Batch II akan dilengkapi dengan suite sensor dan persenjataan serta kawalan serta pemerintahan yang canggih.
Ini bagi membolehkan kapal melaksanakan tugasan antikapal, pertahanan udara, pertempuran permukaan dan peperangan elektronik.
STM sebagai kontraktor utama akan bertanggungjawab ke atas semua fasa projek bermula daripada reka bentuk, pembinaan dan penghantaran.
Ini termasuk pengurusan projek, perolehan bahan/sistem, reka bentuk dan pemasangan, menguji sistem dan sokongan logistik serta dokumen berkaitan projek.
STM akan membina tiga buah LMS seberat 2,500 tan yang reka bentuknya telah disesuaikan untuk memenuhi keperluan TLDM dalam skop kerja yang telah dipersetujui.
Memandangkan kemampuan kapal-kapal TLDM yang ditempatkan di Sabah dan Sarawak adalah terhad, maka tiga LMS Batch II ini nanti dapat menjadi pertahanan terbaik di kawasan sebelah sana.
Difahamkan, proses pemotongan besi pertama kapal (first steel cutting) LMS ini akan dimulakan pada bulan hadapan menandakan proses pembinaan kapal secara rasminya bermula.
TLDM dijangka menerima kapal-kapal ini secara berperingkat-peringkat bermula tahun 2027.
Pembinaan LMS Batch II juga melibatkan banyak vendor-vendor pertahanan Türkiye.
Sebagai kontraktor utama, STM menggunakan produk-produk industri pertahanan Turkiye seperti sistem pengurusan tempur dan sistem kawalan tembakan meriam yang akan dibekalkan syarikat Havelsan.
Radar pencarian 3 dimensi, radar kawalan tembakan dan sensor elektronik lain akan dibekalkan oleh syarikat Aselsan.
Bagi sistem peluru berpandu antikapal, TLDM memilih ATMACA yang akan dibekalkan oleh syarikat Roketsan.
Cuma untuk sistem peluru berpandu pertahanan udara, TLDM dikatakan bakal memutuskan pilihan yang dilihat cenderung kepada K-SAAM buatan Korea Selatan.
LMS Batch II memiliki kelajuan maksima 26 knot ini boleh belajar sejauh 4,000 batu nautika dengan kru seramai 111 orang.
Tempoh satu-satu pelayaran bagi kapal ini ialah selama 14 hari yang mana ia memadai untuk sebuah kapal perang bersaiz sederhana.
Kementerian Pertahanan Malaysia (Mindef) pada Jun lalu telah menandatangani surat penerimaan dengan Presiden Secretariat of Defence Industries Turkiye bagi pembelian kapal LMS Batch II TLDM.
Ia dimeterai Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin dengan Presiden SSB Prof Dr Haluk Gorgun semasa melakukan lawatan kerja ke Turkiye.
Malaysia menjadi pengguna keempat korvet kelas Ada ini selepas Türkiye (5 buah), Pakistan (4) dan Ukraine (2).
LMS Batch II merupakan pembelian kedua bagi kapal misi pesisir. Di bawah Rancangan 15-to-5 TLDM, sebanyak 18 buah kapal kelas ini diperlukan oleh angkatan laut negara.
TLDM sebelum ini telah menerima 4 buah LMS kelas Keris yang dibina oleh China Shipbuilding and Offshore International Co. Ltd.
Bagaimana pun, LMS tersebut didapati tidak menepati keperluan TLDM, maka LMS Batch II dirancang supaya mempunyai keupayaan tempur berbanding kapal kelas Keris. - DagangNews.com
#Laut China Selatan #kapal LMS #TLDM #Kementerian Pertahanan
;