Kapal LCS pertama akan berada di permukaan air Mei atau Jun depan

Sinar Harian
Januari 19, 2024 16:55 MYT
Abdul Rahman (dua, kanan) pada sidang media selepas upacara penamaan dan pentauliahan KD Sri Sabah dan KD Sri Sarawak di Pangkalan TLDM Tanjung Gelang pada Jumaat. - Sinar Harian
KUANTAN: Kapal Tempur Pesisir (LCS) yang pertama akan berada di permukaan air pada Mei atau Jun depan sebelum ia ditauliahkan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada penghujung 2026.
Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob berkata, ia susulan penyambungan projek pembinaan LCS yang tergendala kini berjalan dengan baik.
Menurutnya, kapal itu seterusnya menjalani ujian pemasangan sistem dan peralatan, seperti Harbour Acceptance Test dan Sea Acceptance Trial selama 22 bulan.
"Ia akan diikuti kapal LCS kedua dalam tempoh lapan bulan, sehingga kapal kelima, setiap lapan bulan berikutnya.
"Jadi kejayaan pertama ini amat kritikal dalam menentukan kesinambungan projek ini, seterusnya kapal kedua sehingga yang kelima," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas upacara penamaan dan pentauliahan Patrol Craft (PC) Kapal Diraja (KD) Sri Sabah dan KD Sri Sarawak di Jeti Tanjung Pangkalan TLDM Tanjung Gelang di sini pada Jumaat.
Pada 13 Ogos tahun lalu, Abdul Rahman memaklumkan projek pembinaan LCS dijangka disambung semula pada September.
Katanya, ia selepas kontrak tambahan keenam projek tersebut ditandatangani pada Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA 2023) di Langkawi, Mei lalu.
"Lima kapal LCS akan diserahkan kepada TLDM secara berperingkat dengan kapal pertama dijangka diserahkan pada penghujung 2026," katanya. - Sinar Harian
#Kapal LCS #TLDM #status projek #Panglima TLDM
;