Kapal layar terbakar di Langkawi

Sinar Harian
Februari 20, 2024 17:35 MYT
Kapal layar berkenaan terbakar sekitar 50 peratus membabitkan bahagian dalam kapal.
LANGKAWI: Sebuah kapal layar yang berlabuh di kawasan perairan berdekatan Jeti Pelancongan Kuah di sini, terbakar dalam kejadian pada tengah hari Selasa.
Ketua Zon 4 Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah, Penguasa Bomba Mohd Zamri Abdul Ghani berkata, kebakaran membabitkan bahagian dalam kapal dengan anggaran kemusnahan sekitar 50 peratus.
Bagaimanapun katanya, tiada mangsa dilaporkan tercedera dalam kejadian pada jam 1.15 tengah hari itu.
“Panggilan kecemasan berhubung kejadian itu diterima pada 1.19 tengah hari.
“Sejurus itu, sebuah jentera bersama seorang pegawai dan lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Persiaran Putra dikejarkan ke lokasi,” katanya dalam kenyataan akhbar pada Selasa.
Mohd Zamri berkata, kapal layar berukuran 12 meter panjang dan tiga meter lebar itu berada pada jarak 200 meter dari pesisir pantai ketika terbakar.
“Kerja memadam kebakaran dilakukan menggunakan satu aliran pancutan dari sumber air terbuka dan api berjaya dikawal dalam tempoh kira-kira 20 minit,” katanya. - Sinar Harian
#kapal layar terbakar #Langkawi #cuaca panas #El Nino
;