Kapal layar terbakar, 7 kru diselamatkan Maritim Malaysia
Adie Sufian Zulkefli
Februari 18, 2021 15:08 MYT
Februari 18, 2021 15:08 MYT
LANGKAWI: Sebuah kapal layar dilaporkan terbakar di kawasan perairan kira-kira 0.6 batu nautika Timur Laut Pulau Singa Kechil, di sini, hari ini.
Dalam kejadian pukul 8.18 pagi itu, tujuh lelaki yang juga kru kapal itu diselamatkan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).
Pengarah Maritim Malaysia Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, kebakaran kapal layar itu dikesan kapal Maritim Malaysia, KM Tenggol.
"Kejadian itu kemudian disalurkan ke Sub-Pusat Menyelamat Maritim (MRSC) Langkawi, selain Tentera Laut Diraja Malaysia, Pasukan Polis Marin dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
"Pada masa sama, bot Kilat 6 daripada Maritim Malaysia digerakkan ke lokasi kejadian untuk memberi bantuan sewajarnya," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Mohd Zawawi berkata, tujuh kru kapal layar itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dan dipindahkan ke KM Tenggol.
"Kerja-kerja pemadaman api masih giat dilakukan berikutan angin kuat dengan menggunakan beberapa aset membabitkan pelbagai agensi penyelamat.
"Sehingga kini, tiada tumpahan minyak dilaporkan berlaku di lokasi kejadian dan pihak kami akan membuat pemantauan berterusan," kata beliau lagi.
#kapal layar terbakar
#tujuh kru kapal
#Timur Laut Pulau Singa Kechil
#Langkawi
#Kedah
#Maritim Malaysia
#kapal Maritim Malaysia
#KM Tenggol
#Laksamana Pertama Maritim
#Mohd Zawawi Abdullah