Kapal korek terbakar, 11 kru selamat

Bernama
Julai 19, 2021 04:06 MYT
Kapal tersebut membawa 11 orang kru, empat daripadanya warga Indonesia, manakala tujuh lagi warga China, yang dilaporkan selamat. - Foto APMM
SHAH ALAM: Sebuah kapal korek MV SHI XIAN 156 telah mengalami kebakaran di kedudukan lebih kurang 0.3 batu nautika Sungai Chondong Besar, Pulau Indah pada jam lebih kurang 12.48 tengah hari Isnin, menurut Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.
Pengarah Maritim Negeri Selangor Kepten Maritim Mohd Rosli Kassim berkata sebaik menerima aduan, bot Maritim Malaysia telah digerakkan ke lokasi kejadian bersama Pasukan Polis Marin, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, serta bot pemantau dari Lembaga Pelabuhan Klang, bagi melaksanakan operasi mencari dan menyelamat termasuk membuat kawalan keselamatan di lokasi.
"Kapal tersebut membawa 11 orang kru, empat daripadanya warga Indonesia, manakala tujuh lagi warga China, yang dilaporkan selamat tanpa sebarang kecederaan dan dipindahkan ke daratan terdekat," katanya dalam kenyataannya.
Mohd Rosli berkata, kerja-kerja pemadaman api masih giat dilakukan berikutan terdapat tangki minyak di bawah tempat kebakaran, namun berjaya dikawal sepenuhnya oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat dalam tempoh masa lebih kurang enam jam.
"Setakat ini tiada tumpahan minyak dilaporkan berlaku dan Maritim Malaysia akan membuat pemantauan berterusan," katanya.
Maritim Malaysia menasihatkan agar komuniti maritim, sentiasa peka mengenai keselamatan di laut dan bersiap sedia dengan sebarang kejadian yang tidak diingini di laut bagi mengelakkan kehilangan nyawa serta harta benda.
-- BERNAMA
#kapal korek #Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia #Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia #kebakaran #Maritim Malaysia #Mohd Rosli Kassim #tangki minyak #Sungai Chondong Besar #Pulau Indah #warga china #warga Indonesia
;