Kapal korek pasir RM7.5 juta berdaftar di Mongolia ditahan di Kota Belud
Abdul Hafiz Mustadi
Mac 21, 2023 18:41 MYT
Mac 21, 2023 18:41 MYT
KOTA KINABALU: Sebuah kapal korek pasir ditahan di perairan Pulau Usukan, Kota Belud oleh Pasukan Polis Marin (PPM) pada Isnin setelah didapati menjalankan operasi mengorek pasir tanpa permit.
Kapal itu yang disyaki berdaftar di Mongolia itu dikesan pasukan PPM Wilayah 4 Sabah dalam Op Terancang pada kedudukan 0.38 batu nautika dari Pulau Usukan, 5 petang semalam.
Menerusi Op Terancang yang dijalankan oleh pegawai dan anggota PPM itu, seorang kapten warga Indonesia dan dua kru kapal warga China turut ditahan bagi membantu siasatan.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Ariffin ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut.
"Kapal dan kandungan pasir dirampas untuk dirujuk kepada jabatan dan agensi berwajib untuk tindakan lanjut," ujarnya ketika dihubungi media.
Sementara itu, sumber dalaman berkata kapal dan pasir yang dirampas sewaktu operasi tersebut dijalankan di 0.38 batu nautika dari Pulau Usukan dianggar bernilai sebanyak RM7.5 juta.