Kapal kontena alami kerosakan, hanyut di perairan Pulau Pom Pom
Petrus Bernard
Februari 19, 2022 19:16 MYT
Februari 19, 2022 19:16 MYT
SEMPORNA: Sebuah kapal kontena yang sedang dalam pelayaran mengalami kerosakan jentera utama dan gagal dikemudi menyebabkannya hanyut di perairan Pulau Pom Pom, Semporna, Sabah pada pagi semalam.
Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Norrimi Hassan berkata pihaknya menerima maklumat daripada zon maritim Lahad Datu berkaitan kapal hanyut tersebut pada jam 9.45 pagi.
Kapal kontena yang berdaftar Danum 171 milik syarikat Shin Yang Shipping Sdn Bhd itu sedang dalam pelayaran dari Kota Kinabalu menuju ke Tawau.
"Tiba di lokasi kejadian, kapal tersebut mengalami kerosakan pada jana kuasa utama dan mengalami kegagalan untuk berfungsi seterusnya hanyut ke arah Pulau Pom Pom Semporna.
"Dua buah bot peronda Maritim diatur gerak lokasi kejadian mengawasi dan mengawal keselamatan persekitaran bagi mengelak berlakunya sebarang insiden.
"Kapal tersebut ditunda dari perairan berkenaan kembali ke Pelabuhan Kontena Lahad Datu untuk pembaikan pada jam 4 petang dan selamat berlabuh di pelabuhan berkenaan pada jam 8.05 pagi Sabtu," katanya.
Bagaimanapun, kesemua kru kapal seramai 17 orang dilaporkan selamat.
#kapal kontena
#kerosakan
#Pulau Pom Pom
#Semporna
#Sabah
#maritim
#hanyut
#Shin Yang Shipping Sdn Bhd
#Lahad Datu