Kapal kargo hilang di Laut China Selatan
Hakim Rahman
September 9, 2015 23:47 MYT
September 9, 2015 23:47 MYT
Sebuah kapal kargo membawa muatan 500 tan barangan am dilaporkan hilang di Laut China Selatan, Sabtu lalu, ketika dalam pelayaran dari Kuching ke Limbang.
Ketua Penguatkuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Wilayah Sarawak, Laksamana Pertama Ismaili Bujang Pit, berkata kapal kargo yang didaftarkan dengan nama 'Sah Lian' berlepas dari Pelabuhan Kuching, 2 September lalu dan sepatutnya tiba di Pelabuhan Limbang pada 5 September.
Kapal berkenaan disedari hilang oleh pemiliknya apabila tidak tiba di Pelabuhan Limbang mengikut tarikh dijadualkan dan memaklumkan kehilangan kepada pihak berkuasa.
Menurut Ismaili, kali terakhir pemilik kapal menghubungi kapten kapal pada 3 September, namun ketika itu perjalanan dimaklumkan lancar.
Bagaimanapun, selepas kehilangannya disedari, pemilik cuba menghubungi anak kapal tetapi gagal.
APMM Sarawak melancarkan gerakan mencari dan menyelamat kapal yang memiliki 14 krew dan seorang kapten kapal.
Lokasi terakhir kapal itu dikesan sebelum kehilangannya adalah di Tanjung Sirik di perairan Belawai, Sarikei.
Masih terlalu awal untuk mengaitkan kejadian itu dengan kes penculikan atau serangan lanun.