Kapal kargo berlabuh tanpa kebenaran ditahan

Sinar Harian
Mac 7, 2022 12:31 MYT
Kapal kargo yang berlabuh tanpa kebenaran ditahan di kedudukan kira-kira 26 batu nautika barat daya Tanjong Karang, di sini pada Ahad. - Foto Sinar Harian
KUALA SELANGOR: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor menahan sebuah kapal kargo di kedudukan kira-kira 26 batu nautika barat daya Tanjong Karang, di sini pada Ahad.
Pengarahnya, Kapten Maritim Mohd Rosli Kassim berkata, kapal tersebut ditahan kira-kira jam 4 petang oleh kapal ronda Maritim Malaysia yang melaksanakan rondaan rutin 'Op Ehsan' di perairan negeri ini.
Menurutnya, kapal kargo itu dikesan berlabuh tanpa kebenaran melalui Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) di luar batas Pelabuhan Klang.
"Pemeriksaan awal ke atas kapal yang berdaftar di Panama itu mendapati ia dikendalikan 20 kru lelaki termasuk nakhoda yang berusia di antara 28 hingga 62 tahun," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Mohd Rosli memberitahu, semua kru merupakan warga asing dari Rusia, Ukraine, Indonesia, Nigeria, Myanmar dan Montenegro serta mempunyai dokumen diri yang sah.
"Pelabuhan terakhir kapal ini adalah Port Klang, Malaysia dan berlabuh tanpa kebenaran di perairan Malaysia bagi menunggu arahan pihak syarikat untuk menaiki galangan di Jian Zhou, China yang dijangka pada 17 Mac ini," ujarnya.
Katanya, pemeriksaan juga mendapati nakhoda kapal gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh dan disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 491B(1)(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana berlabuh tunggu tanpa kebenaran daripada Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia.
"Jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali."
Artikel asal ini diterbitkan di portal Sinar Harian
#Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia #Mohd Rosli Kassim #Op Ehsan #kapal kargo
;