Kapal Israel tidak dibenar berlabuh Selasa depan - Loke

Sinar Harian
Disember 20, 2023 17:33 MYT
Menurut Loke, larangan itu selaras dengan arahan sekatan yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berkuat kuasa serta-merta. - Gambar fail/Bernama
PUTRAJAYA: Syarikat perkapalan yang berpangkalan di Israel, ZIM tidak akan dibenarkan berlabuh di Pelabuhan Klang seperti dijadualkan pada Selasa minggu depan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, ia selaras dengan arahan sekatan yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berkuat kuasa serta-merta.
"Lembaga Pelabuhan Klang telah diarahkan untuk membantu syarikat logistik, pengimport, pengeksport dan perkapalan dalam menguruskan kargo masing-masing yang terjejas," katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, Anwar mengumumkan Malaysia tidak lagi menerima kapal yang menggunakan bendera Israel untuk berlabuh di negara ini.
Selain itu, sekatan larangan turut dikenakan larangan kepada mana-mana kapal yang dalam perjalanan menuju ke Israel daripada memuat kargo di pelabuhan Malaysia.
Langkah itu sebagai tindak balas terhadap tindakan Israel yang mengenepikan prinsip asas kemanusiaan dan melanggar undang-undang antarabangsa menerusi pembantaian dan kekejaman berterusan terhadap warga Palestin.
*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian
#kapal Israel #tidak dibenar berlabuh #Anthony Loke Siew Fook #Anwar Ibrahim #perang Palestin Israel #Zim
;