Kapal hanyut berpotensi langgar pelantar minyak 'dipintas' Maritim Malaysia
Nur Fazlizai Ali
Januari 4, 2022 21:28 MYT
Januari 4, 2022 21:28 MYT
KUALA TERENGGANU: Sebuah kapal tanpa kru yang hanyut dan berpotensi melanggar pelantar minyak milik Petronas di perairan Terengganu semalam, berjaya ditunda ke lokasi selamat hari ini.
Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata, pihaknya menerima laporan daripada sebuah syarikat Indonesia bahawa kapal miliknya telah terputus tali ketika ditunda jam 3.15 petang semalam.
Menurutnya, kedua-dua kapal terbabit berada di dalam perairan Vietnam iaitu di kedudukan kira-kira 120 batu nautika dari Kuala Terengganu, ketika dalam perjalanan dari Matak, Indonesia menuju ke Yang Pu, China.
"Tali tunda itu terputus ekoran cuaca buruk lalu kapal berkenaan hanyut hingga memasuki perairan Malaysia.
"Analisis penilaian risiko mendapati kapal itu berpotensi melanggar pelantar minyak Telok A milik Petronas dan boleh mengakibatkan pelantar minyak tersebut meletup serta melibatkan kemalangan nyawa sekiranya tiada bantuan awal diberikan," katanya.
Sehubungan itu, katanya Maritim Malaysia telah mengkoordinasi bantuan bersama Petronas untuk menunda kapal berkenaan ke lokasi yang selamat.
Aset terlibat dalam operasi adalah Kapal Maritim (KM) Jujur dan pesawat AW139 bersama enam anggota Pasukan Tindakan Khas (PTK) Maritim Malaysia selain Petronas pula menghantar kapal ICON LOTUS dan SK PILOT, katanya.
Beliau berkata PTK Maritim Malaysia telah diatur gerak bersama pesawat AW139 bagi menganalisis situasi dan mengenal pasti kaedah bagi mengelakkan kapal daripada terus hanyut.
Mohd Zubil berkata anggota PTK telah diturunkan dari pesawat AW139 ke atas kapal itu jam 3.30 petang hari ini bagi mengurus dan melakukan proses menambat kapal tersebut untuk ditunda oleh kapal ICON LOTUS.
Menurutnya, kapal berkenaan ditunda oleh ICON LOTUS dan dalam perjalanan menghala ke Kemaman Supply Base, Terengganu yang dijangka mengambil masa hampir 65 jam untuk tiba.