Kapal GO Phoenix sambung semula pencarian pesawat MH370
Astro Awani
Mac 25, 2015 16:07 MYT
Mac 25, 2015 16:07 MYT
GO Phoenix, salah satu daripada empat kapal rasmi yang digunakan dalam pencarian pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370, telah menyambung semula operasi di kawasan pencarian pada 19 Mac.
Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) di laman webnya memberitahu keadaan laut yang bergelora hujung minggu lalu telah memaksa kapal SAR untuk menghentikan operasi mencari selama dua jam.
Walau bagaimanapun, GO Phoenix telah menyambung semula operasi tersebut tanpa gangguan.
MH370: Peta kawasan carian di dasar laut. -Sumber: ATSB
Sementara itu, kapal Fugro Discovery milik Belanda dijangka berlepas dari kawasan carian di Selatan Lautan hari ini menuju ke Fremantle di Perth, Australia.
Ia dijangka tiba di pelabuhan sekitar 1 April.
Fugro Equator dijangka tiba di Fremantle kerana penjadualan bekalan pada 8 April ini.
Kapal Fugro Supporter pula akan ke pelabuhan Fremantle sekitar 3 April untuk mengambil bekalan misi berjadual dan dijangka tiba di pelabuhan sekitar 9 April.
Menurut laporan sebelum ini, pencarian laut dalam mungkin akan lengkap sekitar Mei tahun ini.
Pihak berkuasa Australia berharap agar dapat menyelesaikan fasa carian ketika waktu tersebut kerana cuaca dijangka akan lebih buruk ketka musim sejuk.
Penerbangan MH370 hilang dari radar pada 8 Mac 2014 selepas 40 minit berlepas dari Kuala Lumpur ke Beijing, China.
Pesawat tersebut membawa 239 penumpang dan anak kapal.