Kapal cari MH370 'hilang' dari radar? Tunggu kenyataan Ocean Infinity - Azharuddin
Israr Khalid
Februari 9, 2018 16:04 MYT
Februari 9, 2018 16:04 MYT
Kehilangan Seabed Constructor dari radar selama tiga hari akan dijawab sendiri oleh pengendalinya Ocean Infinity.
Kata Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam, Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman berkata pihaknya tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan tentang kapal yang menjalankan misi pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370 di Lautan Hindi itu memandangkan ia melibatkan hal operasi dan teknikal.
“Saya rasa lebih baik mereka yang keluarkan kenyataan; saya tidak mahu apa yang saya nyatakan nanti bercanggah pula.
“Mereka lebih arif mengenai teknikal (sistem pencarian) dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Jumaat.
Kapal yang dikendalikan syarikat penerokaan dasar laut dari Amerika Syarikat itu didapati mematikan transponder lokasinya pada 1 Februari dan dikesan semula pada 4 Februari, sekali gus mewujudkan pelbagai spekulasi termasuk kapal itu didakwa ‘memburu harta karun.’
Sehingga hari ini, masih belum ada penjelasan daripada pihak Ocean Infinity dan Azharuddin juga tidak mengetahui bila syarikat itu akan mengeluarkan kenyataan rasmi, tetapi dijangka dalam masa terdekat.
Kapal tersebut kini berlabuh di Fremantle, Perth untuk mengisi semula bekalan keperluan sejak memulakan misi pada 22 Januari tempoh hari.
Azharuddin yang baru selesai mengadakan pertemuan dengan pihak pengendali Seadbed Constructor pagi tadi memaklumkan tiada maklumat atau petunjuk baharu daripada fasa pertama pencarian.
Pada masa sama, beliau turut menyatakan pihaknya berpuas hati dengan kelengkapan dan peralatan canggih yang dimiliki dan diguna pakai bagi misi sukar itu.
“Ada dua penemuan yang kita panggil ‘point of interest’ tapi apabila dilihat dengan secara terperinci ia bukannya petunjuk daripada MH370.
“Kami ada keluarkan kenyataan tersebut dalam laporan mingguan pada Selasa lepas bersama gambarnya sekali,” katanya lagi.
#Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman
#DCA
#Jabatan Penerbangan Awam
#MH370
#OCEAN INFINITY
#Perth
#Seabed Constructor