Kapal berlanggar, terbakar: MT Ceres 1 gagal dikesan, nombor pendaftaran meragukan

Sinar Harian
Julai 20, 2024 17:20 MYT
MT Hafnia Nile dilaporkan hanyut sejauh 52 batu nautika dari lokasi kejadian dan berada di perairan Pulau Pemanggil, Mersing.
KOTA TINGGI: Sebuah kapal yang terbabit dalam insiden pelanggaran dua buah kapal di kedudukan 25 batu nautika perairan Tanjung Balau dekat sini pada Jumaat dipercayai 'hilang' apabila masih gagal dikesan pada Sabtu.
Pengarah Bahagian Carilamat dan Bantuan Bencana Maritim, Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Mad Yunus berkata, kapal MT Ceres 1 yang berdaftar di Republik Sao Tome didapati tiada di lokasi kejadian pada pagi Sabtu.
Menurutnya, sebuah lagi kapal iaitu MT Hafnia Nile dilaporkan hanyut sejauh 52 batu nautika dari lokasi kejadian dan berada di perairan Pulau Pemanggil, Mersing.
“Operasi Carilamat diteruskan pada hari kedua bermula 7 pagi, Sabtu. Namun apabila pasukan penyelamat tiba di lokasi kejadian kapal MT Ceres 1 didapati meninggalkan kawasan perlanggaran.
"Selain itu, kapal berkenaan gagal dikesan berikutan menutup Sistem Pengenalan Automatik (AIS), namun dipercayai masih berada di dalam perairan negara," katanya dalam sidang akhbar di Zon Maritim Tanjung Sedili di sini pada Sabtu.
Hadir sama, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussain Zamora.
Zin Azman berkata, MT Ceres dinaiki 40 kru dipercayai dalam perjalanan menuju ke Brunei.
Jelasnya, semakan Maritim Rescue Sub-Center (MRSC) Johor Bahru bersama Jabatan Laut Malaysia mendapati nombor pendaftaran IMO kapal tersebut meragukan dan tindakan mereka meninggalkan lokasi kejadian juga diragui.
"Maritim Malaysia kini sedang giat melakukan operasi bagi mengesan kedudukan kapal MT Ceres 1 dengan mengatur gerak pesawat amfibia Bombardier CL 415 MP," katanya.
Sementara itu, MT Hafnia Nile pula dinaiki 22 kru telah diselamatkan kapal Tentera Laut Singapura, RSS Supreme yang bertindak pasukan pertama memberi respons terhadap insiden terbabit dan kesemua kru dibawa ke Singapura untuk rawatan lanjut.
Dalam pada itu, beliau berkata, Jabatan Laut Malaysia akan melakukan pemantauan tumpahan minyak di lokasi kejadian.
“Kapal MT Hafnia Nile membawa muatan bahan kimia jenis Naptha dalam perjalanan dari Singapura menuju ke Jepun.
"Berlaku tumpahan minyak ekoran perlanggaran tersebut namun radius keluasan kawasan yang terjejas masih belum dikenal pasti.
"Pasukan khas bahan kimia berbahaya (Hazmat), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) turut bersiap sedia menyalurkan bantuan sekiranya keadaan memerlukan," katanya.
Pada Jumaat, Maritim Malaysia Johor dilaporkan menggerakkan operasi Carilamat susulan insiden perlanggaran kapal MT Hafnia Nile dengan MT Ceres 1, awal pagi Jumaat.
Pemangku Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim dilaporkan berkata, Pangkalan Hadapan CARILAMAT (PHC) telah ditubuhkan di jeti Zon Maritim Tanjung Sedili di sini, bagi mengkoordinasikan pencarian. - Sinar Harian
#kapal dagang terbakar #perairan johor #melarikan diri #pengenalan meragukan
;