Kapal berlanggar, terbakar: Maritim Malaysia berjaya kesan, pintas kapal tangki MT Ceres 1
Siti Nur Aqilla Omar
Julai 21, 2024 14:15 MYT
Julai 21, 2024 14:15 MYT
KOTA TINGGI: Kapal MT Ceres 1 yang dilaporkan meninggalkan lokasi selepas perlanggaran dengan kapal tangki MT Hafnia Nile di kedudukan 25 batu nautika, Timur Laut Tanjung Balau, pada Jumaat, telah ditemui awal pagi tadi.
Pengarah Bahagian Carilamat dan Bantuan Bencana Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus berkata, kapal tangki MT Ceres 1 yang berdaftar di Sao Tome and Principe itu ditemui di kedudukan 28 batu nautika timur laut Pulau Tioman.
Katanya ketika ditahan kapal terbabit sedang ditunda dengan dua buah bot tunda.
"Kapal peronda luar pesisir (OPV) KM PEKAN Maritim Malaysia telah berjaya mengesan dan memintas kapal tangki MT Ceres 1 pada sekitar jam 1.20 pagi tadi dan turut menahan kedua-dua buah bot tunda yang dipercayai dari Singapura, yang disyaki terlibat membawa lari kapal tangki MT Ceres I.
"Pihak Maritim Malaysia dengan kerjasama pihak Jabatan Laut Malaysia (JLM) akan melaksanakan siasatan lanjut insiden itu dengan penemuan semula kapal MT Ceres 1 terbabit.
"Sementara itu, hasil tinjauan udara pesawat amfibia Bombardier CL 415 MP milik Maritim Malaysia yang telah menjalankan tinjauan udara semalam menemui sedikit kesan tumpahan minyak di lokasi kejadian.
"Pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) turut dimaklumkan mengenai penemuan ini dan akan melakukan pemantauan lanjut dalam masa terdekat," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Semalam, dalam sidang media Zin Azman menyatakan MT Ceres 1 yang membawa 40 kru dilaporkan hilang dan gagal dikesan selepas pelanggaran tersebut yang turut menyebabkan kebakaran kapal, pada awal pagi Jumaat.
Kapal terbabit dipercayai meninggalkan kawasan pelanggaran dengan menutup sistem pengenalan automatik.