Kapal bawa muatan HFO kebocoran di perairan Tanjung Piai

Astro Awani
Julai 27, 2016 07:39 MYT
Kebocoran disedari ketika kapal itu dalam perjalanan dari Singapura ke Brazil melalui Selat Melaka. - Foto Bernama
Kapal dagang asing, Berge Bureya yang membawa muatan minyak bahan bakar berat (HFO) mengalami kebocoran di perairan Tanjung Piai dekatsini, pada Selasa.
Menurut Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Johor Baharu, Kapten Maritim Aminuddin Abd Rashid kebocoran pada bahagian kanan kapal itu menyebabkan kira-kira satu tan HFO tumpah di permukaan air.
Berge Bureya didaftarkan di United Kingdom pada asalnya membawa keseluruhan HFO 5,495 tan metrik, katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu
Bernama melaporkan kebocoran disedari ketika kapal itu dalam perjalanan dari Singapura ke Brazil melalui Selat Melaka.
"Selepas itu, kapal tersebut bersauh di kedudukan tiga batu nautika barat Tanjung Piai bagi memindahkan minyak ke tangki lain. Kerja pembersihan oleh syarikat kapal tersebut masih dijalankan sehingga kini sambil dibantu Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Laut dan APMM," kata Aminuddin.
Beliau berkata kapal berkenaan ditahan dan disiasat di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
#Berge Bureya #kapal bocor #muatan HFO #Tanjung Piai
;