Kapal APMM OPV1 dinamakan KM Tun Fatimah
Bernama
Mac 2, 2024 22:39 MYT
Mac 2, 2024 22:39 MYT
KUCHING: Kapal Peronda Luar Pesisir Pertama (OPV 1) milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dinamakan sebagai Kapal Maritim (KM) Tun Fatimah.
Upacara penamaan itu telah disempurnakan oleh isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di Jeti Lembaga Pelabuhan Kuching di sini, hari ini.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata pemilihan nama Tun Fatimah itu adalah berdasarkan sifat kepimpinan dan keberanian permaisuri Melaka itu.
Mengikut catatan sejarah, isteri kepada Sultan Melaka Sultan Mahmud Syah serta puteri kepada Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir itu turut serta dalam siri serangan armada Melaka ke atas Portugis bagi merampas kembali pemerintahan.
"Di sepanjang hayat hidupnya, (Tun Fatimah) juga sentiasa menjadi pembela dalam soal bangsa juga tanah air. Biasanya, tradisi menamakan kapal ini kita akan ambil dari nama laut, teluk, selat atau nama bandar tetapi kali ini kita guna nama seorang tokoh," katanya selepas menghadiri majlis upacara penamaan kapal itu hari ini.
OPV1 yang berukuran 83 meter panjang dengan lebar 13.7 meter itu mampu mencapai kelajuan 21 knot dengan fasiliti seperti tapak pendaratan helikopter dan bilik tahanan.
Pada 18 Jan lepas, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Ruji Ubi dilaporkan berkata OPV1 yang dibina sepenuhnya di Malaysia akan melakukan pemantauan di kawasan perairan Sarawak, khususnya di Laut China Selatan.
OPV1 merupakan OPV kelima Maritim Malaysia yang beroperasi setakat ini, selain KM Arau, KM Pekan, KM Langkawi dan KM Banggi.
Sementara itu, Saifuddin berkata kerajaan kini sedang berusaha menyegerakan proses pembinaan kapal OPV2 dan OPV3.
Beliau berkata OPV2 dijangka dapat diserahkan dalam tempoh satu setengah tahun lagi.
"Apabila kita dah siap OPV1 (KM Tun Fatimah), proses pembinaan OPV2 dan OPV3 akan lebih lancar kerana format semua sama (dengan OPV1).
"Kita yakin kita dapat siapkan paling cepat satu tahun setengah daripada sekarang untuk OPV2 dan OPV3 akan menyusul selepas itu," katanya.
-- BERNAMA