Kapal Al-Awda sah ditawan Israel
Kenyataan Media
Julai 29, 2018 23:37 MYT
Julai 29, 2018 23:37 MYT
Kapal kemanusiaan Al-Awda 'Right to a Just Future for Palestine' (JFP) dalam misi memecahkan kepungan Israel ke atas Gaza, ditawan tentera laut rejim Israel.
Kapal yang membawa 22 aktivis kemanusiaan, termasuk wakil tunggal Malaysia, Prof Madya Dr Mohd Afandi Salleh, dipintas tentera laut rejim dan ditunda ke Pelabuhan Ashdod, Israel.
Insiden itu disahkan Ketua Pegawai Eksekutif Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) Kamarul Zaman Shaharul Anwar. Dr Afandi juga merupakan aktivis MyCARE.
Kapal dengan 22 aktivis pelbagai latar belakang dari 16 negara itu berlepas dari Messina lapan hari yang lalu. Ia dilaporkan terputus hubungan jam 7.15 (waktu Malaysia) kurang 49 batu nautika dari Gaza.
Kapal ini turut membawa bekalan perubatan bernilai RM61,000.
Misi pelayaran kemanusiaan dengan mesej keamanan itu adalah simbolik penentangan masyarakat antarabangsa ke atas kepungan haram rejim Israel ke atas Gaza sejak 2007.
Aktivis lain di atas kapal ahli politik Norway Mikkel Gruner, doktor pakar ortopedik United Kingdom, Dr Ang Swee Chai, aktivis kemanusiaan warganegara Israel, Zohar Chamberlain Regev serta bekas atlet Norway, Prof Gerd Von der Lippe.
Kapal Al-Awda serta dua buah kapal kecil, Huriyyah dan Falastine, meninggalkan pelabuhan Messina, Sicily Itali untuk meneruskan misi Right to A Just Future for Palestine kira-kira jam 4 petang(waktu Malaysia) pada 22 Julai.
Pelayaran 'Right to a Just Future for Palestine' bermula pada 22 Mei lalu di Copenhagen, Denmark dan telah melalui 28 pelabuhan di pelbagai lokasi serta peserta bersilih ganti menaiki kapal di lokasi berbeza dan telah melalui 5,794 batu nautika sejak mula pelayaran.
Usaha memecahkan kepungan Israel ke atas Gaza bermula pada 2010 melalui Freedom Flotilla yang menyaksikan sembilan aktivis Turki ditembak mati komando Israel yang menawan kapal Mavi Marmara.
Ketika insiden, kapal kemanusiaan yang turut dinaiki 12 aktivis dari Malaysia itu berada pada kedudukan 70 batu nautika dari pantai Gaza.