Kaotim oleh Takaful Malaysia, tingkat mobiliti insurans negara

Nabilah Khaleeda
November 14, 2024 11:30 MYT
Nor Azman berkata para pelanggan boleh melanggan produk Kaotim dalam talian pada bila-bila masa dan melengkapkan transaksi dalam hanya beberapa minit untuk terus dilindungi pada hari yang sama. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Kaotim, jenama dan platform digital yang diuruskan oleh Takaful Malaysia menawarkan pelbagai pelan perlindungan dalam talian yang komprehensif dan mampu milik.
Langkah ini bertujuan untuk memenuhi keperluan rakyat Malaysia yang semakin celik digital dan mengutamakan kemudahan serta keselamatan dalam mendapatkan perlindungan insurans.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Takaful Malaysia, Nor Azman Zainal, sebagai perintis dalam industri insurans patuh syariah, Takaful Malaysia memperkenalkan platform digital Kaotim sebagai inisiatif strategik untuk mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran insurans digital.
“Platform Kaotim direka untuk memberikan pengalaman pengguna yang lebih mesra dan mudah diakses, di samping memanfaatkan teknologi digital untuk menyokong transaksi dalam talian yang pantas dan selamat.
“Dengan Kaotim, pelanggan dapat melengkapkan proses pelangganan pelan perlindungan mereka dalam masa beberapa minit dan terus dilindungi pada hari yang sama,” ujar beliau.
Kaotim menawarkan empat pelan perlindungan utama iaitu Kaotim MediKad, Kaotim Legasi, Kaotim Car dan Kaotim Motor.
Nor Azman berkata pelancaran Kaotim pada sekitar November 2023 bukan sahaja menyokong usaha Takaful Malaysia untuk mempelbagaikan perkhidmatan mereka dalam pasaran peruncitan, tetapi juga mencerminkan komitmen syarikat untuk kekal berdaya saing dalam era pendigitalan perkhidmatan kewangan.
“Kaotim diharapkan dapat menarik minat segmen pelanggan baru yang mengutamakan kemudahan akses kepada pelan perlindungan yang efisien dan mampu milik.
“Dengan platform ini, Takaful Malaysia mengukuhkan matlamatnya untuk menjadi peneraju dalam insurans dan takaful digital, sejajar dengan aspirasi nasional untuk merangsang pertumbuhan ekonomi digital dan meningkatkan daya saing ekonomi negara,” katanya ketika ditemubual dalam program Niaga AWANI pada Rabu.
#Kaotim #Takaful Malaysia #Nor Azman Zainal #perlindungan sosial
;