Kantin terbakar, dua pekerja rentung
Angelina Sinyang
Januari 9, 2020 09:03 MYT
Januari 9, 2020 09:03 MYT
Dua lelaki ditemukan rentung selepas kantin tempat mereka bekerja di Usaha Estate, Jalan Pesisir Bintulu-Miri, di sini, musnah terbakar pada malam Rabu.
Mangsa, Wong Ling Puong, 47, dan Lee Bua Ling, 23, tinggal berdua dalam kantin tersebut semasa kebakaran berlaku kira-kira jam 9 malam, manakala majikan mereka berada di luar kawasan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak berkata, pihak Balai Bomba dan Penyelamat (BPP) Bintulu menerima panggilan kecemasan mengenai insiden itu pada jam 9.05 malam.
"Seramai 10 anggota dari BPP Bintulu diketuai Stephen Plen telah dihantar ke tempat kejadian untuk melakukan kerja pemadaman.
"Operasi pemadaman turut dibantu anggota dari BBP Samalaju diketuai Mohd Alimun," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Menurutnya, mayat seorang mangsa ditemukan di dalam bilik tidur manakala seorang lagi dijumpai berdekatan dengan kaunter pembayaran.
Beliau berkata operasi pemadaman selesai jam 1.15 pagi dan kedua-dua mayat telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Tambahnya, punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.
#BBP Bintulu
#Bintulu
#bomba
#kantin
#kebakaran
#Lee Bua Ling
#rentung
#Stephen Plen
#Wong Ling Puong