Kantin dibuka: Saya tak mahu anak bukan Islam makan dalam stor - Fadhlina

Astro Awani
Mac 13, 2024 18:19 MYT
Fadhlina berkata perkara itu bukan dasar baharu dan ia hanya dilaksanakan khusus untuk sekolah yang mempunyai murid bukan Islam. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) menegaskan arahan pembukaan kantin sekolah sepanjang Ramadan termaktub dalam Pekeliling Pengurusan Kantin Sekolah, yang mana ia perlu dibuka sepanjang sekolah beroperasi.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata perkara itu bukan dasar baharu dan ia dilaksanakan khusus untuk sekolah yang mempunyai murid bukan Islam.
"Saya sudah tegaskan penting untuk proses memahamkan pelajar bukan Islam mengenai ibadah oleh rakan-rakan mereka yang beragama Islam, dan mereka saling-menghormati antara satu sama lain.
"Saya tidak mahu ada anak bukan Islam dan tidak berpuasa ini makan dalam stor atau makan di tempat yang tidak wajar, sedangkan semua sekolah ada kantin. Jadi mereka harus pergi kantin untuk makan.
"Bagi pelajar Islam pula yang berpuasa akan diuruskan guru mereka. Tiada masalah langsung dalam urusan ini dan paling penting membina ekosistem berkaitan saling memahami, memperkuat, memperkukuh dan menghormati satu sama lain," katanya ketika menggulung perbahasan Usul Menjujung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat pada Rabu.
Beliau menjawab celahan Salamiah Mohd Nor (PN-Temerloh) yang membangkitkan isu pembukaan kantin sekolah sepanjang bulan Ramadan.
Pada Isnin, Fadhlina Sidek memaklumkan kantin sekolah akan beroperasi seperti biasa sepanjang bulan Ramadan.
Begitu pun, Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Ahmad Yahaya dilapor menyifatkan arahan pembukaan kantin sekolah di bulan Ramadan sebagai keterlaluan dan seolah-olah tidak menghormati bulan mulia ini.
Sementara itu mengenai sekolah vernakular pula, Ahli Parlimen Nibong Tebal itu berkata tidak timbul isu sekolah tersebut menggunakan silibus berbeza dengan sekolah kebangsaan.
"Sekolah vernakular ini sekolah yang diiktiraf di bawah Akta Pendidikan yang mana antara lain untuk memperkukuhkan bahasa ibunda masing-masing, jadi tiada isu langsung sekolah ini ada masalah dan mengikuti silibus yang berbeza.
"Silibusnya sama silibus KPM, jadi jangan buat tuduhan yang bersifat ghulu (berlebih-lebihan) di dewan ini jika tiada fakta.
"Silibus sama , tiada masalah malah Akta Pendidikan benarkan dan keputusan mahkamah baru-baru ini pun benarkan," katanya.
#Kantin sekolah dibuka bulan puasa #Fadhlina Sidek kantin sekolah #Kementerian Pendidikan #sekolah vernakular #Dewan Rakyat
;