Kanser payudara: Jika ada ketulan pada payudara, segera lakukan pemeriksaan

Astro Awani
Ogos 30, 2024 10:30 MYT
Sama ada lelaki atau wanita, tanda-tanda awal kanser payudara adalah ketulan pada bahagian dada. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR : Tanda-tanda awal kanser payudara adalah apabila terdapatnya ketulan atau 'lump' di bahagian dada tidak kira bagi wanita atau lelaki.
Dengan mengesan tanda awal tersebut, individu dapat mencegah kanser dengan rawatan susulan pada kadar segera.
Menurut Pakar Pembedahan Am, Payudara & Endokrine, Hospital Pakar KPJ Damansara, Dr Naqiyah Ibrahim, sekiranya ketulan tersebut tidak menyebabkan apa-apa kesakitan, individu tersebut perlu juga untuk melakukan pemeriksaan awal.
"Sama ada lelaki atau wanita, tanda-tanda awal kanser payudara adalah ketulan pada bahagian dada. Ini kerana kebanyakan ketulan di payudara sama ada kanser atau bukan, ia tidak akan menyebabkan sebarang kesakitan.
"Kebanyakan kes yang dilaporkan sebelum ini terutamanya dalam kalangan wanita, apabila datang bulan, ketulan tersebut muncul dan mereka akan menunggu untuk kitaran baharu dalam memastikan ia sakit atau tidak.
"Bagi saya, sekiranya ia tidak menyebabkan rasa sakit tetapi ketulan itu ada, anda perlu lakukan pemeriksaan lanjut di hospital," katanya dalam AWANI Pagi baru-baru ini.
AWANI Pagi: Kempen kesedaran kanser payu dara
Jelasnya, selain pemeriksaan kendiri, di hospital juga akan melakukan pemeriksaan mammogram kerana ia adalah langkah paling selamat.
Orang ramai juga perlu cakna tentang perubahan pada bentuk payudara seperti cecair berdarah yang keluar pada puting dan puting tertarik ke dalam.
Ini kerana, berikut adalah tanda-tanda awal kanser payudara.
Sementara itu, Pakar Perunding Klinikal Onkologi & Radioterapi, Hospital Pakar KPJ Damansara, Dr Sangeetha Poovaneswaran, memaklumkan, pengesanan mammogram hanya sesuai untuk wanita berusia 40 tahun ke atas.
Bagi individu bawah 40 tahun, mereka akan disarankan untuk menjalani pemeriksaan ultrasound atau MRI.
Bagaimanapun, sekiranya individu tersebut berdepan dengan risiko kanser, mereka perlu melakukan pemeriksaan secara berkala.
Justeru itu, bagi mencegah kanser secara keseluruhannya, setiap rakyat Malaysia disaran untuk mengamalkan gaya hidup sihat.
#kanser payudara #ketulan #Dr Naqiyah Ibrahim #Dr Sangeetha Poovaneswaran
;