Kanser paru-paru: Teknologi baru tampil teknik pembedahan lebih baik
Bernama
Ogos 7, 2019 08:18 MYT
Ogos 7, 2019 08:18 MYT
Teknologi baru bagi pembedahan kanser paru-paru kini boleh didapati di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan Pusat Pakar Universiti Malaya (UMSC), yang menawarkan pembedahan kurang menyakitkan, kos efektif, dan tempoh rawatan di wad hospital yang lebih singkat.
Perunding Pakar bedah Kardiotorasik PPUM dan UMSC Dr Sivakumar Krishnasamy berkata teknologi baru yang dikenali sebagai "Uniportal 'Video-Assisted Thoracoscopic Surgery' (VATS)", adalah teknik yang membolehkan pesakit kanser itu membuat pembedahan kecil yang kurang menyakitkan berbanding pembedahan konvensional.
"Kami dapati teknik ini (Uniportal VATS) kurang meyakitkan bagi para pesakit, malah mereka boleh sembuh lebih pantas dan boleh memulakan rawatan berikutnya dengan lebih awal.
"Ia hanya pembedahan melibatkan satu insisi kecil kira-kira tiga sentimeter, dan dengan latihan yang cukup, semua peralatan perlu, boleh melaluinya," katanya.
Dr Sivakumar berkata demikian kepada Bernama ketika ditemui selepas menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan pakar bedah torasik terkemuka dunia Dr Diego Gonzales Rivas, yang mengiktiraf PPUM sebagai pusat latihan Uniportal VATS Masterclass Malaysia di sini pada Selasa.
Turut hadir di majlis itu ialah Prof Dr Tunku Kamarul Zaman Tunku Zainol Abidin dari PPUM.
Katanya pesakit hanya perlu berada di hospital untuk dua atau tiga hari, berbanding tempoh seminggu yang diperlukan untuk pembedahan konvensional kanser paru-paru.
"Biasanya dengan pembedahan konvensional, pesakit terpaksa menahan sakit selama beberapa hari, di mana mereka mungkin merasa tidak selesa, dan kemungkinan besar boleh membawa kepada jangkitan kanser, dan akhirnya mengakibatkan tempoh rawatan di hospital menjadi lebih panjang.
"Bagaimanapun dengan Uniportal VATS, semua komplikasi ini dapat diminimumkan kerana tidak ada rusuk yang terseliuh, tidak ada pendarahan otot, insisi lebih kecil, sekaligus membolehkan pesakit bernafas dengan lebih baik selepas pembedahan, supaya mereka boleh dibenarkan pulang lebih awal.
Dr Sivakumar berkata idea untuk memperkenalkan Uniportal VATS timbul selepas beliau menjalani tiga bulan latihan di bawah bimbingan Dr Diego di Shanghai Pulmonary Hospital, yang merupakan hospital kanser terbesar di dunia.
"Menerusi MoU ini, Dr. Diego yang juga pencipta teknik Uniportal VATS akan berkongsi pengalamannya mewujudkan kesedaran mengenai prosedur ini dalam negara, dan pada masa yang sama membaiki teknik buat semua pakar bedah lain, menerusi kelas pakar yang singkat," katanya.
-- BERNAMA
#Diego Gonzales Rivas
#Hospital
#kanser paru-paru
#kurang menyakitkan
#MoU
#pakar bedah torasik
#Pembedahan
#perubatan
#pesakit
#PPUM
#pusat perubatan universiti malaya
#Sivakumar Krishnasamy
#teknologi
#VATS