Kanser paru-paru bukan hukuman mati
Ridauddin Daud
Februari 4, 2021 06:11 MYT
Februari 4, 2021 06:11 MYT
KUALA LUMPUR: Sekiranya menghidap kanser paru-paru, ia bukanlah bermakna nyawa anda sudah sampai ke penghujungnya atau tidak mampu diselamatkan lagi.
Persepsi sebegitu yang berlegar dalam kalangan masyarakat membuatkan ada pesakit menganggap penyakit itu sebagai hukuman mati, sekali gus mereka putus harapan, enggan menjalani rawatan.
Presiden Lung Cancer Network Malaysia, Dr Anand Sachithanandan berkata, dalam usaha melawan stigma tersebut, pihaknya bekerjasama dengan Pfizer Malaysia menganjurkan kempen #KeepBreathing.
Menurutnya, kempen itu bertujuan mendidik masyarakat berkaitan kemajuan perubatan termasuklah rawatan ‘bespoke’ dan ujian saringan untuk pengesanan awal kanser paru-paru.
“Tahap kesedaran terhadap kanser paru-paru di Malaysia masih rendah dan ini menyumbang kepada kadar diagnosis tahap lewat dalam kebanyakan kes.
“Stigma bahawa kanser paru-paru ialah kanser yang 'ditimbulkan sendiri', ketakutan terhadap rawatan seperti kemoterapi dan radioterapi serta fokus terhadap rawatan tradisional dan terapi sampingan merupakan halangan tambahan.
“Kanser paru-paru boleh disembuhkan jika dikesan awal dan menerusi terapi multimodal dengan pendekatan pelbagai disiplin,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Sempena Hari Kanser Sedunia pada 4 Februari 2021, pelancaran kempen #KeepBreathing bertujuan menyatukan pelbagai pihak selain menimbulkan kesedaran terhadap orang ramai.
“Kempen ini merupakan seruan kepada semua rakyat Malaysia untuk turut terlibat dalam mengubah cara penyakit ini dibincangkan, menceritakan pengalaman pesakit yang akhirnya diharapkan dapat kurangkan stigma terhadap kanser paru-paru,” ujarnya.
Dalam pada itu, Pfizer melancarkan program bantuan pesakit dikenali sebagai V-Care untuk menyokong rawatan pesakit kanser paru-paru.
Pengurus Pfizer Malaysia & Brunei, Luksanawan Thangpaibool berkata, melalui progam itu, pesakit boleh merancang pelan kewangan mereka dengan lebih baik dan mendapatkan akses terhadap rawatan inovatif.
“Pfizer memberikan komitmen untuk menyokong pesakit kanser paru-paru sepanjang rawatan mereka termasuklah dari segi kewangan.
“Kami bangga melancarkan program V-Care di Malaysia untuk membekalkan rawatan yang efektif bagi mereka yang memerlukannya supaya pesakit dapat menikmati hidup mereka,” katanya.
#kanser
#persepsi
#ujian saringan
#Pfizer
#kempen
#KeepBreathing
#Lung Cancer Network Malaysia
#Anand Sachithanandan
#hari kanser sedunia
#stigma
#rawatan tradisional
#V-Care
#pesakit
#Luksanawan Thangpaibool
#hukuman mati
#kanser paru-paru
#kewangan
#bantuan