Kandungan podcast langgar batas undang-undang boleh diambil tindakan - Fahmi

Umavathi Ramayah
Februari 7, 2024 18:50 MYT
Fahmi menegaskan, pihak berkuasa boleh mengambil tindakan ke atas mereka sekiranya kandungan tersebut melanggar batas undang-undang. -Gambar fail/Bernama
PUTRAJAYA: Kerajaan belum berhasrat untuk mengenakan sebarang kawal selia ke atas kandungan yang dihasilkan pengenali audio siar atau podcast.
Namun, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menegaskan, pihak berkuasa boleh mengambil tindakan ke atas mereka sekiranya kandungan tersebut melanggar batas undang-undang.
"Peringatan kepada semua podcast, setakat ini kerajaan belum berhasrat untuk mengenakan kawal selia ke atas kandungan yang dihasilkan.
"Tapi sekiranya adab dan batas ada keterlanjuran, maka sekiranya pihak kerajaan menilai dan meneliti, jika ada keperluan, kita akan ambil tindakan," katanya pada sidang media pasca Kabinet, di sini, pada Rabu.
Pada masa sama Fahmi turut menasihati penyedia kandungan platform audio siar agar berpada-pada dan melakukan kawalan kendiri dalam mencipta kandungan.
Katanya, orang ramai berhak untuk bersuara dan ia termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan, tetapi ada batasnya.
"Jadi saya minta para podcast mengenakan kawalan kendiri dan berpada-pada, kita ada undang-undang dan budaya.
"Sekiranya ada pihak yang berasakan perlu diambil tindakan, pihak berkuasa boleh mengambil tindakan," katanya.
Terdahulu, Fahmi memaklumkan pihaknya tidak mengesan sebarang video yang memaparkan rakaman platform audio siar (podcast) yang menjemput seorang lelaki yang sebelum ini didakwa atas kesalahan mengiklankan khidmat persundalan atau digelar 'Hot Daddy' menerusi aplikasi X.
Menurut Fahmi, berdasarkan dapatan awal, berkemungkinan video tersebut tidak dimuat naik atau sudah diturunkan oleh platform terbabit.
Podcast undang pelaku seks: Kementerian Komunikasi terima laporan
#Perlembagaan Persekutuan #kementerian komunikasi #pengendali podcast #hot daddy
;