Kandungan Kebencian: CMCF gesa penggunaan media sosial yang bertanggungjawab
Astro Awani
April 4, 2024 11:00 MYT
April 4, 2024 11:00 MYT
KUALA LUMPUR: Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia (CMCF) mengeluarkan seruan tegas kepada pengguna agar menggunakan media sosial dengan lebih bertanggungjawab atas perkongsia hantaran atau kandungan berbaur kebencian.
Sebagai forum industri yang menggalakkan kawal selia kendiri kandungan, seruan itu dikeluarkan susulan peningkatan penyebaran kandungan yang memudaratkan, menjelikkan dan berbaur kebencian di pelbagai platform media sosial,
CMCF dalam kenyataannya berkata, lonjakan kandungan yang memudaratkan di platform media sosial merupakan satu masalah yang semakin membimbangkan kerana ia memberi kesan kepada individu, komuniti dan masyarakat.
"Kami sangat bimbang dengan peningkatan kandungan yang direka semata-mata untuk membangkitkan kemarahan atau dijadikan ‘viral’ melalui unsur-unsur sensasi yang sering kali mengabaikan adab dan kesopanan, serta berpotensi untuk membawa kesan yang memudaratkan dalam kehidupan sebenar.”
“Adalah penting bagi pengguna media sosial untuk menggunakan pertimbangan dan bertanggungjawab dalam interaksi dalam talian mereka.
“Ini termasuklah menahan diri daripada berkongsi, menyebarkan semula atau berinteraksi dengan kandungan yang memudaratkan, menjelikkan dan berbaur kebencian,” tambah kenyataan itu lagi.
Selain itu, CMCF turut menekankan kepentingan pemikiran kritis dan literasi media dalam mengemudi landskap digital.
“Dengan membudayakan kesedaran terhadap taktik manipulasi yang digunakan oleh pencipta kandungan yang berniat jahat, individu dapat membuat pilihan yang bermaklumat tentang perilaku dalam talian mereka.
“Apabila berhadapan dengan kandungan yang jelas provokatif, rasis, seksis atau memudaratkan, pengguna berupaya untuk mengenal pasti bahawa ia adalah percubaan untuk membangkitkan wacana negatif dan boleh memilih untuk tidak terlibat dengannya,” katanya lagi.
Menurut CMCF, semua individu yang berhadapan dengan kandungan yang melanggar peraturan atau undang-undang digesa untuk mengambil langkah proaktif dalam menanganinya.
“Jika kandungan tersebut melanggar garis panduan komuniti atau standard undang-undang, pengguna sangat digalakkan untuk melaporkannya segera kepada platform media sosial yang berkaitan untuk mengurangkan penyebarannya.
“Jika kandungan tersebut merupakan suatu kesalahan jenayah atau mengancam keselamatan awam, pengguna digalakkan untuk membuat laporan kepada pihak berkuasa yang berkaitan dengan segera.
“Dengan mengambil tindakan cepat dan tegas, kita semua dapat menyumbang secara kolektif untuk mencipta persekitaran digital yang lebih selamat dan kondusif,” tambah kenyataan CMCF itu lagi.